PETALING JAYA: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, dengan jumlah anggaran sebanyak RM429.5 juta kepada 827,066 anggotanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pembayaran dividen akan dilakukan mulai 25 April 2022 (hari ini).
Beliau berkata, Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen dua digit untuk tempoh 23 tahun.
“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjawabkan bagi memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.
“Seperti yang kita sedia maklum, Bank Rakyat sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40,” katanya ketika mengumumkan agihan dividen itu.
Menurut Noh, Bank Rakyat turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM32.30 juta disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1 peratus lagi berjumlah RM16.15 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Jumlah sumbangan bagi 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta,” katanya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan Bank Rakyat di atas kejayaan mengekalkan agihan dividen tersebut.
Noh sehubungan itu berharap, penerimaan dividen itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi anggota dalam mengharungi pandemik Covid-19 di samping membantu anggota dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya juga mendoakan pada bulan Ramadan ini agar berkat perancangan, usaha dan kesungguhan warga Bank Rakyat yang berterusan, mudah-mudahan sektor perbankan Islam serta Bank Rakyat akan berdiri teguh dan menempa lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN










