Achey mahu mangsa banjir riang di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Achey mahu mangsa banjir riang di Aidilfitri

Achey yang merupakan rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel, menjelaskan inisiatif terbabit dilakukan bagi memberi senyuman kepada mereka yang kehilangan harta benda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak terdetik sekelumit pun rasa ingin dilambung dan dipuji. Tetapi, apa yang dirasakan oleh pelawak dan penyanyi, Achey, 35, ini adalah lebih kepada hasrat untuk membantu seberapa banyak individu yang susah memerlukan.

Disebabkan itu, atas dasar keprihatinan terhadap mangsa banjir di Kemaman, Terengganu, Achey bersama syarikat pengendali umrah, RS Megatravel Sdn Bhd (RS Megatravel) saling ringan tulang untuk menyantuni hampir 600 buah rumah yang terkesan akibat bencana yang melanda negeri itu pada awal Mac lalu.

Enggan melihat penduduk di Kampung Bukit Mentok, Kemaman menyambut Ramadan dalam suasana hiba dan serba kekurangan, Achey dan RS Megatravel pada 22 Mac lepas, tampil menyumbangkan barangan keperluan rumah buat mangsa-mangsa.

Menurut Achey yang merupakan rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel, inisiatif terbabit dilakukan bagi memberi senyuman kepada mereka yang kehilangan harta benda sekaligus meringankan beban yang ditanggung.

Katanya, dia berasa teruja apabila berpeluang turun padang ke Kemaman dan bertemu mangsa banjir yang dirundung dengan rasa buntu, lebih-lebih lagi ketika ini, di bulan Ramadan dan menjelang sambutan hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Saya dan pasukan RS Megatravel cukup faham beban yang terpaksa mangsa-mangsa ini tanggung dalam waktu sukar seperti ini. Lebih-lebih lagi kehadiran kami ketika itu nak dekat dengan bulan Ramadan.

“Walaupun air banjir di kawasan Kampung Bukit Mentok sudah surut, tapi masih ramai yang memerlukan bantuan berikutan kawasan terbabit antara yang lambat untuk kembali pulih.

“Jadi kehadiran kami boleh dikatakan tepat kerana mereka menantikan bantuan daripada orang luar kerana sebelum ini kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk masuk kerana keadaan yang belum pulih,” katanya.

Tambah pemilik nama Mohd Nasir Hamzah ini, mereka berjaya mengumpulkan barangan berupa tilam, sejadah dan telekung.

“Selain bertepatan dengan kehadiran Ramadan, kami menghulurkan bantuan pada penghujung Mac juga kerana kami menanti barangan yang mahu dihulurkan cukup terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan kami untuk membantu dan kami dapat memberikan 600 buah tilam, 300 unit sejadah, 300 pasang telekung dan banyak lagi,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan RS Megatravel Sdn Bhd, Syamshul Aswad Jaafaar Siddik, jumlah bantuan yang dihulurkan bernilai lebih RM50,000.

“Syukur kerana nilai lebih RM50,000 ini dapat kami gunakan untuk membantu hampir 600 rumah yang terjejas.

“Selain memberikan servis terbaik bagi perjalanan umrah tanpa kos tersembunyi semenjak ditubuhkan pada 2021, aktiviti sebegini juga sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang kami buat untuk menyalurkan ke arah kebajikan,” katanya.

Pihaknya turut berpegang kepada nilai kemurahan hati, ketelusan dalam pengurusan dan perkhidmatan dan keprihatinan dalam menyantuni para jemaah umrah dan haji selain melihat aktiviti seperti ini selari dengan misi dan objektif RS Megatravel.

“Tentunya kami juga gembira apabila Achey selaku rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel sama-sama turun padang membantu mereka yang memerlukan.

“Selain memberi fokus terhadap kepada bisnes kami iaitu pengurusan haji, umrah dan ziarah serta pelancongan Islamik patuh syariah, Insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak lagi aktiviti CSR yang bakal kami lakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×