Siapa kata individu istimewa seperti Azmi Saat tidak boleh bergelar seorang duta? Vokalis kumpulan Caliph Buskers ini membuktikan bahawa dirinya mampu menggalas tanggungjawab itu meski di sebalik kekurangannya yang tidak dapat melihat sebagaimana individu normal yang lain.
Mungkin ada yang akan mempertikaikan, tetapi bagi Azmi, setiap orang ada cara tersendiri dalam usaha membantu insan lain yang memerlukan tanpa mengira apa sahaja latar belakang mereka.
Lalu, apabila dia dipilih sebagai duta Yayasan Maghfirah sejak tiga tahun lalu, penyanyi berusia 35 tahun ini tidak ada sebab untuk menolak.
“Saya pun tak sangka, diam tak diam sudah tiga tahun saya bersama dengan yayasan ini dan bergelar duta. Saya tahu,mungkin ada yang tanya macam mana saya nak galas tugas duta itu sedangkan saya begini.
“Tapi saya percaya, setiap orang ada kelebihan, saya ada cara tersendiri,” katanya ketika ditemui di majlis Amal Maghfirah yang diadakan di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi Avenue, Kajang, baru-baru ini.
Buat julung kalinya Yayasan Maghfirah mengadakan majlis berbuka puasa dengan menjemput 300 orang anak yatim, pelajar tahfiz, orang kelainan upaya dan anak-anak asnaf tajaan kelas Sahabat Al-Quran Yayasan Maghfirah.
Turut hadir selebriti tempatan antaranya Johan As’ari, Imam Muda Najdi dan duta Yayasan Maghfirah, Fedtri Yahya, Ustaz Adnin Roslan, serta Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Kata Azmi, pada awalnya, dia sendiri khuatir bagaimana dia dapat membawa peranan tersebut sementelah dia bimbang keadaan dirinya menjadi beban pada orang lain.
“Contohnya macam situasi banjir yang melanda beberapa tempat di Selangor sebelum ini. Hajat di hati memang nak sertai sama misi bantuan. Masa dapat tahu mereka nak pergi hantar misi bantuan ke Syria pun saya sama teruja nak ikut.
“Tapi apakan daya, ada limitasi kudrat. Bukan apa, bimbang diri sendiri pula menjadi bebanan kepada orang lain. Tapi kalau sekiranya ada kelapangan waktu dan program yang dianjurkan oleh yayasan sesuai dengan keadaan, sebolehnya saya nak sertai sama.
“Setakat ini boleh dikatakan, banyak juga saya dapat bersama-sama dengan pasukan yayasan. Sudah banyak program mereka lakukan,” katanya.
Tak terima bayaran
Dalam pada itu, kongsi penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Namamu ini, mungkin ada yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya tidak meletakkan bayaran tertentu untuk tugas sebagai duta yang digalas.
Katanya, ia bukan soal utama kerana apa yang penting, usaha dilakukan oleh Yayasan Maghfirah ini selari dengan hasrat untuk membantu golongan yang susah dan memerlukan.
“Sebetulnya saya memang tak pernah letakkan bayaran. Orang kata, iyalah, jadi duta mesti kena letak harga bukan? Tapi tidak untuk saya untuk tujuan ini. Tetapi tetap, pihak yayasan bermurah hati untuk memberikan wang saku setiap bulan bagi memudahkan saya menghadiri program mereka.
“Bukannya mereka tak ada tanya pasal bayaran, tapi memang saya tak letakkan harga. Sebab saya pun tak tahu nak bantu macam mana, jadi dapat peluang dengan cara macam ini pun saya dah anggap satu rezeki.
“Bila fikir balik, saya rasa apa salahnya saya buat kerja ini demi nak raih pahala. Saya bantu cara ini, mana tahu Allah SWT bukakan pintu rezeki lain pula untuk saya dan keluarga.
“Saya tolong daripada aspek promosi di media sosial dan sebagainya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.










