Liputan 4G Malaysia mencapai 95.52 peratus setakat 31 Mac lalu.

Liputan 4G Malaysia capai 95.52 peratus

PROGRAM Penerangan Media berhubung Laporan Jendela untuk Suku Pertama 2022 yang dilangsungkan menerusi sesi Zoom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Liputan 4G Malaysia mencapai 95.52 peratus setakat 31 Mac lalu, di bawah Fasa 1 Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr. Fadhullah Suhaimi Abdul Malek berkata, dalam aspek kelajuan jalur lebar mudah alih, inisiatif Jendela, ia mencapai 40.13 Mbps.

Jelasnya, angka itu melepasi sasaran 35 Mbps bagi suku pertama tahun ini iaitu setakat 31 Mac lalu.

“Sebanyak 7.027 juta premis melepasi ketersambungan fiber dengan sasaran 7.5 juta premis pada akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penerangan Media berhubung Laporan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk Suku Pertama 2022 yang dilangsungkan menerusi sesi Zoom, hari ini.

Jendela adalah rancangan penyediaan infrastruktur digital bertujuan menyediakan kerangka kerja yang komprehensif dan liputan jalur lebar berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pengguna.

Jendela juga merupakan platform untuk mempercepatkan kesalinghubungan digital negara melalui pelaksanaan meluas capaian jalur lebar mudah alih, gentian optik dan tetap sementara membuka jalan kepada 5G di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berhubung penutupan rangkaian 3G, Fadhullah Suhaimi berkata, sebanyak 1,815,314 pelanggan beralih daripada rangkaian tersebut setakat akhir Mac lalu, iaitu 86.6 peratus daripada keseluruhan 2,097,121 pelanggan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, SKMM merekodkan sebanyak 23,803 aduan rangkaian sejak 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Beliau berkata, aduan yang diterima itu kebanyakannya melibatkan perkhidmatan selular berhubung isu perkhidmatan kualiti 4G.

“Daripada 20 kawasan teratas, sebanyak 42 peratus aduan adalah dari zon satu dan dua,” katanya.

Berdasarkan graf yang ditunjukkan, lima kawasan teratas adalah Kuala Lumpur, Petaling, Johor Bahru, Kuala Langat dan Klang.

Januari 2022 mencatatkan 8,615 aduan, Februari (7,004) dan Mac (8.184) yang dilihat satu penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu Januari 2021 (14,535), Februari (23,585) dan Mac (16,487). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×