Kurung corak bunga kembalikan nostalgia klasik - Utusan Malaysia

Kurung corak bunga kembalikan nostalgia klasik

GAYA print on print bagi yang berani mencuba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORAL atau bunga-bungaan dan wanita, memang tidak dapat dipisahkan. Ia mempengaruhi kriteria atau personaliti seseorang wanita itu sendiri untuk tampil lebih sopan dan ayu apabila mengayakan pakaian atau tudung yang bercorak bunga-bungaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abd. Hamid berkata, lima motif bunga-bungaan pada kurung moden raya iaitu Cempaka, Mawar, Melati, Seroja dan Lili mengembalikan nostalgia klasik.

“Corak bunga-bungaan klasik seperti Cempaka, Mawar, Melati Seroja dan Lili ini seiring dengan sambutan tradisi Hari Raya. Fabrik bermotifkan moral sering digayakan pada zaman nenek moyang kita dahulu.

“Manakala pemilihan tudung sedondon daripada fabrik kain kapas klasik disuai padan dengan kurung bunga-bungaan ini adalah trend print on print yang menyerlahkan gaya si pemakai,” katanya kepada Seri.

TREND PRINT ON PRINT
Kita sering mendengar istilah trend print on print di negara-negara barat, namun kurang dilihat dan dipraktikkan di Malaysia sendiri.

Ulasnya, trend ini memperlihatkan corak pada pakaian daripada atas hingga ke bawah. Gaya ini tidak perlu dipakai aksesori atau perhiasan kerana corak tersebut mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

“Gaya print on print ini haruslah mengikuti beberapa peraturan asas dan hanya sesuai digayakan bagi yang berani mencuba. Perlu ingat, tidak semua corak bermotifkan floral sesuai digayakan sebegini,” katanya.

HARUS SENADA
Seperti corak motif Cempaka yang digayakan oleh pelakon, Nelydia Senrose ini, gabungan corak bunga Cempaka dan diamond stripe pada baju melengkapi keseluruhan tatagaya dengan pemilihan satu warna asas yang sama pada kedua-dua baju dan tudung. Yang paling penting, ia haruslah senada.

“Kami mencadangkan gaya ini cantik digunakan dengan corak floral yang lebih kecil dan tidak sarat dengan memastikan warna asas dan fabrik yang digunakan tidak melebihi dua pilihan warna.

“Pilih corak bunga minimal, ada jarak di antara setiap satunya untuk elak kelihatan sarat, penuh dan berat,” katanya.

FABRIK KAPAS
Pemilihan tudung daripada fabrik kain kapas klasik disuai padan kurung bunga-bungaan sangat sesuai digayakan dan menjadikan pemakai kelihatan ayu, cantik dan manis.

“Fabrik ini dipilih atas faktor kualitinya yang mudah dijaga selain mempunyai tekstur yang ringan, tidak mudah renyuk, selesa dan mudah dicuci. Paling penting, ia haruslah mudah dibentuk,” katanya.

Pemilihan fabrik ini bukan sahaja sesuai digayakan pada hari-hari istimewa seperti Hari Raya, malah boleh juga dipakai secara kasual kerana ia tidak menampakkan gaya yang keterlaluan tetapi lebih santai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN