PETALING JAYA: UOB Malaysia bekerjasama dengan Liberty Insurance untuk menawarkan perolehan insurans automatik pertama di Malaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pemilik PKS kini boleh mengakses laman mikro UOB BizCare untuk membeli perlindungan insurans yang komprehensif bagi perniagaan mereka.
Menurut UOB Malaysia, banjir baru-baru ini telah menjejaskan banyak PKS, dengan anggaran kerugian bernilai RM600 juta dialami oleh premis perniagaan di seluruh negara.
Pada masa yang sama, jelasnya, lebih 90 peratus usahawan tempatan tidak mempunyai insurans (terhadap risiko termasuk bencana alam) dan tidak mempunyai jaring keselamatan kewangan sekiranya perniagaan mereka gagal.
Oleh itu, UOB Malaysia dan Liberty Insurance telah membangunkan laman mikro yang khusus untuk membolehkan PKS mendapat akses kepada perlindungan insurans komprehensif yang akan melindungi perniagaan dan harta benda mereka daripada kerugian lanjutan disebabkan oleh risiko tidak dijangka dan bencana alam.
Selain banjir, perlindungan ini juga termasuk kejadian lain seperti kebakaran, kecurian dan pecah masuk, liability awam dan tindakan keganasan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Perniagaan, UOB Malaysia, Raymond Chui berkata, mempunyai cara mudah bagi PKS memperoleh insurans dalam talian adalah penting kerana PKS membentuk sebahagian besar daripada jumlah perniagaan yang didaftarkan di Malaysia dan kebanyakan mereka tidak mempunyai perlindungan yang secukupnya.
“Bencana alam seperti banjir kilat yang melanda Malaysia baru-baru ini telah menjejaskan ramai orang termasuk pemilik dan usahawan PKS.
“Kejadian banjir sebegini kemungkinannya akan berulang pada musim monsun akan datang. Ini merupakan kebimbangan amat besar kerana kebanyakan perniagaan Malaysia masih kurang diinsuranskan terhadap risiko ini.
“Dengan memperkenalkan perolehan insurans yang lancar dan mudah, kami harap PKS akan digalakkan mendapat perlindungan penting ini untuk perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, pembangunan perolehan insurans automatik di laman mikro UOB BizCare juga sejajar dengan usaha berterusan UOB Malaysia untuk membantu pelanggan PKS mencapai kecekapan yang lebih tinggi melalui pendigitalan.
Melalui laman mikro itu, katanya, pelanggan PKS boleh memilih salah satu daripada tiga pelan perlindungan Liberty Insurance.
Raymond memberitahu, laman mikro itu akan menjana sebut harga insurans digital untuk semakan sebelum mereka meneruskan pembelian.
Tambah beliau, sebaik sahaja pembayaran dalam talian dilakukan, polisi insurans digital akan dihantar melalui e-mel kepada pelanggan dalam masa beberapa minit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liberty Insurance, Puneet Pasricha berkata, laman mikro UOB BizCare adalah salah satu cara Liberty Insurance dapat melonjakkan usaha transformasi digital dan meningkatkan standard perkhidmatan kepada pelanggan tempatan melalui teknologi.
“Laman mikro ini membolehkan pemilik PKS mempunyai kawalan apabila membeli polisi insurans dan menyesuaikan perlindungan mereka dengan mudah dan bebas.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia dalam membangunkan laman mikro ini dan dalam memastikan pengalaman pembelian dan pembayaran pelanggan PKS adalah lancar dan tidak menyusahkan,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang disediakan oleh pelanggan PKS, laman mikro UOB BizCare juga akan memberi mereka panduan langkah demi langkah untuk mendapat perlindungan insurans yang tepat dengan menjana beberapa cadangan paling sesuai dengan perniagaan mereka secara automatik.
Laman mikro tersebut juga bertujuan mendidik pelanggan tentang pelbagai jenis perlindungan yang tersedia di pasaran, selain menggalakkan mereka memperoleh perlindungan tambahan untuk menambah kepada pakej insurans sedia ada. – UTUSAN










