PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) hari ini mengalu-alukan ketibaan penerbangan D7 505 dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur.
Penerbangan tersebut menandakan penyambungan semula perkhidmatan mingguannya ke/dari Korea Selatan selepas dua tahun, yang disambut dengan pancuran air setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
AAX juga telah menyambung semula perkhidmatannya ke/dari New Delhi, India sebanyak dua kali seminggu bermula 20 April 2022 dengan acara penghantaran tetamu di klia2.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, ia menandakan satu pencapaian penting bagi AAX, bukan sahaja untuk pemulihannya sebagai sebuah syarikat penerbangan tetapi juga untuk pembangunan semula industri pelancongan negara.
“Penyambungan semula laluan paling popular kami secara berperingkat ini amat dinantikan oleh para tetamu kami dan di seluruh rantaian nilai dalam sektor pelancongan, seterusnya merangsang pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan di pasaran utama kami seperti Australia, Korea Selatan dan India kerana membuka semula sempadan mereka dan melonggarkan sekatan perjalanan.
“AAX berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama. Kami akan terus menyemak rangkaian kami dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran utama kami. Lebih banyak perkhidmatan ke destinasi lain akan diumumkan dalam masa terdekat seiring dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Benjamin berkata, dengan penyambungan semula perkhidmatan ini, AAX memberi jaminan kepada para tetamu bahawa ia akan terus komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi pada setiap masa.
“Seluruh kakitangan kami sama ada di darat dan udara telah menerima vaksinasi lengkap dan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia, memberikan pengalaman perjalanan terbaik termasuk tawaran tempat duduk istimewa Premium Flatbed kami, serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan untuk keselamatan para tetamu kami,” katanya.
Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Incheon (Seoul) bermula daripada RM873 untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM2,199 sehala.
Penerbangan dari Incheon (Seoul) ke Kuala Lumpur pula, tambang termasuk semua bermula daripada RM1,050 dan RM2,880 sehala. Para tetamu yang menempah penerbangan ini juga dapat menikmati tambahan bagasi kabin 7kg secara percuma.
Sementara tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke New Delhi bermula daripada RM565 untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM1,830 sehala termasuk semua. Dari New Delhi ke Kuala Lumpur, tambang termasuk semua bermula daripada INR9,669 dan INR33,1190 sehala. – UTUSAN










