MySejahtera, sijil vaksinasi digital dilengkapi ciri keselamatan tinggi

MySejahtera, sijil vaksinasi digital dilengkapi ciri keselamatan tinggi

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesahihan atau keaslian sijil vaksinasi Covid-19 yang ditandatangani secara digital menerusi MySejahtera mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ketulenan vaksin daripada pengeluar sehingga penerima vaksin seterusnya menerbitkan sijil vaksinasi tidak boleh dipertikai.

Menurut beliau, kementeriannya bersama MIMOS telah membangunkan Vaccine Management System (VMS) menggunakan kepakaran tempatan berasaskan teknologi blockchain untuk melaksanakan proses jejak dan kesan (track and trace) vaksin Covid-19.

“Sijil vaksinasi digital Covid-19 Malaysia yang diterbitkan melalui VMS memastikan setiap individu penerima vaksin dapat dipastikan menerima vaksin yang sah melalui penjejakan nombor siri setiap vaksin bermula daripada pengilang hingga ke akhir rantaian bekalan kepada petugas kesihatan yang memberikan vaksin dan individu menerimanya.

“VMS memudah cara penerbitan sijil vaksinasi digital Covid-19 dengan ciri keselamatan yang tinggi menggunakan teknologi blockchain dan public key infrastructure (PKI) bagi mengelakkan pemalsuan sijil vaksinasi dan meningkatkan keyakinan serta penerimaan rakyat terhadap program vaksinasi kebangsaan,” katanya di sini.

Adham berkata, atas asas itulah, Kesatuan Eropah (EU) memberi pengiktirafan terhadap Sijil Vaksinasi Covid-19 Malaysia bagi membolehkan ia diguna pakai dan diiktiraf setara di 64 buah negara meliputi 27 negara EU dan 37 negara bukan EU yang diterima ke dalam Sistem European Union Digital COVID Certificate (EU DCC).

Beliau berkata, selain EU, sijil vaksinasi Covid-19 Malaysia juga boleh disahkan di tiga negara lain iaitu Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Baru-baru ini, EU membuat keputusan untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 di MySejahtera dan pihak EU menerima permintaan Malaysia untuk mewujudkan penyelarasan antara Sijil Covid Digital EU dengan MySejahtera di Malaysia.

Utusan Malaysia pada 23 Mac lalu mendedahkan secara eksklusif mengenai nasib lebih 10 juta penerima vaksin keluaran Sinovac di Malaysia yang berisiko disekat untuk memasuki EU ekoran vaksin itu tidak pernah diperakui Agensi Perubatan Eropah (EMA) malah ada berita beberapa warga Malaysia diusir keluar kerana tidak semua 27 negara EU mengiktiraf dos ini.

Bagaimanapun Mingguan Malaysia pada 27 Mac lalu melaporkan khabar positif mengenai ada rundingan antara Kementerian Kesihatan dengan EU bagi memperakui vaksin berkenaan.

Adham berkata, spesifikasi teknikal dan kaedah pengesanan vaksin dan penjanaan sijil vaksinasi telah memenuhi standard dan keperluan yang ditetapkan EU sekali gus membuktikan kepakaran dan keupayaan tempatan adalah bertaraf global.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan Memorandum Bersama daripada Menteri Kesihatan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Luar Negeri pada 16 Februari lalu mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 Malaysia termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi negara asing secara timbal balas.

Beliau menjelaskan, proses pengiktirafan timbal balas sijil vaksinasi Covid-19 dengan negara asing melibatkan peranan dan kerjasama daripada tiga kementerian berkenaan.

Dalam hal ini, katanya, Kementerian Kesihatan mengetuai rundingan perkara dasar pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 dengan negara asing.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula menerajui perbincangan spesifikasi teknikal sijil vaksinasi Covid-19 dengan negara asing setelah dipersetujui Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri.

“Kementerian Luar Negeri berperanan memaklumkan cadangan pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 menerusi saluran diplomatik kepada semua perwakilan atau negara asing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×