PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menjalin kerjasama strategik bersama RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) untuk meningkatkan kesedaran kepentingan zakat melalui pendekatan holistik.
Kerjasama itu juga bertujuan menggalakkan kemampanan kewangan sosial dalam kalangan masyarakat Islam, selain mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah serta agihan zakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kerjasama itu akan menjadi pemangkin untuk membina entiti perniagaan berdaya maju dan membolehkan syarikat menerima pulangan dividen lebih tinggi sekali gus meningkatkan bayaran zakat pada tahun-tahun akan datang.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak RHB Islamic selaku pembayar zakat kerana pembayaran zakat andalah yang membantu meningkatkan dana zakat agar agihan bagi kelangsungan asnaf yang dibuat oleh pihak MAIWP mencukupi.”
“Kami menyasarkan lebih banyak penglibatan dalam kalangan kakitangan sektor swasta untuk menunaikan zakat secara potongan gaji melalui Skim PZB.
“Justeru itu, saya menyeru kepada majikan-majikan agar memberi galakan kepada kakitangan untuk berbuat demikian. Majikan juga boleh mendapat pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan sempena kerjasama itu.
Bagi memastikan kerjasama yang berterusan, beberapa program dan kempen bakal dilaksanakan, antaranya Kempen Semarak Zakat, Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) bagi kakitangan RHB, dan Kempen Pelanggan Mewah RHB.
Di bawah Kempen Pelanggan Mewah RHB, para pelanggan mewah RHB yang membuat bayaran zakat sebanyak RM25,000 dan ke atas berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan istimewa seperti konsultasi zakat dan faraid serta peluang untuk memilih sendiri ke mana agihan zakat mereka disalurkan mengikut pakej agihan yang disediakan.
Selain itu, PPZ-MAIWP dan RHB Islamic juga akan saling berkongsi maklumat, pengetahuan dan pandangan bagi menyokong kewujudan platform untuk perkongsian ilmu serta idea mengenai pelaksanaan zakat di Malaysia.
Pada majlis pelancaran tersebut, RHB Islamic turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada PPZ-MAIWP bagi tahun kewangan berakhir 2021.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, RHB Islamic amat berbesar hati untuk menjadi institusi perbankan Islam pertama yang menjalinkan kerjasama strategik bersama PPZ-MAIWP.
Katanya, sinergi antara PPZ-MAIWP dan RHB Islamic akan memberikan peluang untuk kakitangan Kumpulan Perbankan RHB dan pelanggan mereka untuk merasai pengalaman berzakat dengan lebih mudah.
“Di samping itu, kerjasama ini juga bakal membantu pihak RHB Islamic untuk menguruskan agihan zakat wakalah dengan lebih sistematik, mampan dan komprehensif,” katanya.
Majlis dihadiri oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman. – UTUSAN










