PETALING JAYA: OCBC Bank melancarkan instrumen deposit boleh niaga kadar terapung berkaitan kelestarian (FRNID) sulung kepada pelanggan runcit yang berminat dalam pelaburan riisiko rendah yang menerapkan unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut OCBC Bank, Instrumen Deposit Boleh Niaga Kadar Terapung Faedah Terkumpul Boleh Panggil (CIC FRNID) ialah pelaburan ESG yang membolehkan pelanggan OCBC Bank mendapatkan pulangan berpotensi lebih tinggi berbanding deposit tetap dengan mengambil pandangan tertentu tentang kadar KLIBOR.
“Matlamat kelestarian dipenuhi dengan memastikan dana-dana yang dikumpulkan daripada pelaburan berstruktur dilaburkan ke dalam aset yang memenuhi ketetapan Rangka Kerja ESG dalaman OCBC Bank.
“Inisiatif ini adalah berasaskan strategi dan komitmen OCBC Bank untuk meningkatkan dengan ketara tawarannya dalam pilihan pembiayaan dan pelaburan hijau menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh berkata, penekanan lebih kukuh OCBC Bank kebelakangan ini kepada kelestarian telah menyebabkan pihaknya mempertimbangkan kelestarian daripada lebih banyak sudut pandangan berbanding sebelumnya, terkini menerusi FRNID.
“Kami mencipta lebih banyak produk yang mengambil kira pertimbangan ESG yang didorong oleh hampir RM5 bilion dalam aset lestari di bawah pengurusan (AUM) yang kami catatkan pada hujung tahun lepas.
“Pembiayaan dan pelaburan hijau membuka peluang untuk berjaya dengan berbakti. Kami percaya banyak lagi yang boleh dilakukan oleh bank-bank untuk memacu agenda kelestarian demi memenuhi permintaan dan perhatian pelanggan yang semakin meningkat terhadap produk pelaburan risiko rendah seperti ini, di samping mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang wujud di luar sana,” katanya.
Beliau menambah, semakin ramai pelanggan mula menceburi pelaburan berasaskan ESG dan OCBC Bank komited untuk
memastikan keperluan mereka yang mempunyai selera risiko yang rendah dipenuhi menerusi FRNID yang dilindungi wang pokok.
CIC FRNID sesuai bagi pelabur yang mahukan pelaburan berisiko rendah yang dilindungi wang pokok 100 peratus apabila dipegang sehingga matang dengan pulangan berpotensi lebih tinggi berbanding deposit tetap.
OCBC Bank turut mengingatkan pelanggannya bahawa poduk itu dijamin wang pokoknya oleh bank penerbit hanya apa matang.
“Jika produk ditebus atau dijual sebelum matang, pelanggan mungkin kehilangan sebahagian daripada jumlah deposit asal. Pulangan atas produk ini tidak pasti dan pelanggan menghadapi risiko langsung tidak menerima apa-apa pulangan. Pelangaan diingatkan bahaw produk ini tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM),” katanya. – UTUSAN










