
MUKADIMAH
Industri pelancongan adalah antara yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 dengan kehilangan pendapatan serta menjejaskan ekosistem keseluruhan termasuk perniagaan dan pekerjaan.
Kini, setelah negara beralih ke fasa endemik, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sudah bersedia dan telah mengatur strategi untuk mengembalikan kegemilangan industri pelancongan Sarawak setelah kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah, negeri dan negara.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR bersama Ketua Pegawai Eksekutif STB, SHARZEDE DATU SALLEH ASKOR mengenai cabaran, perkembangan dan rancangan STB dalam menghidupkan semula sektor pelancongan Sarawak, baru-baru ini.

UTUSAN: Apakah cabaran semasa yang dihadapi oleh STB?
SHARZEDE DATU SALLEH ASKOR: Cabaran utama yang dihadapi kini adalah ketersambungan. Sebagai sebuah pulau, perjalanan udara menjadi pengangkutan utama untuk memasuki tiga pintu utama ke Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Dengan lebih banyak penerbangan domestik dan antarabangsa ke Sarawak, ia pasti akan memacu sektor pelancongan.
Apakah yang dilakukan oleh STB untuk memulihkan keyakinan dalam kalangan pelancong?
Fokus kami kini adalah untuk menawarkan produk pelancongan baharu dan kemudahan yang dinaik taraf.
Sarawak sangat komited dalam memastik produk pelancongan kami dalam keadaan yang baik sambil mengekalkan keaslian Sarawak.
Sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan telah membolehkan kami menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kerja-kerja menaik taraf yang perlu dilakukan kepada produk atau tarikan pelancongan kami.
Selaras dengan tema penjenamaan destinasi kami, Sarawak sememangnya destinasi yang dinanti-nantikan setelah sempadan dibuka untuk memberikan pelancong pengalaman baharu yang menarik.
Sebagai contoh, antara produk dan kemudahan yang telah dinaik taraf adalah, Muzium Budaya Borneo yang kini dibuka kepada orang ramai. Ia merupakan Muzium Budaya Borneo terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.
Strukturnya menampilkan gerbang emas dan corak tenunan tradisional yang menghiasi dinding luar. Ia akan menjadi mercu tanda baharu yang meneroka pelbagai tema pameran tetap.
Selain itu, Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace di Taman Arkeologi Santubong Sarawak yang menampilkan pelbagai artifak, dijangka siap menjelang tahun ini sekali gus menambah nilai kepada Santubong sebagai tarikan popular.
Pemulihan kubu bersejarah di Sarawak Tengah juga dilakukan. Ia merangkumi lima kubu termasuk, Kubu Alice (Sri Aman), Kubu Emma (Kanowit), Kubu Brooke (Julau), Kubu Hose (Marudi) dan Kubu Lili (Betong).
Kerja-kerja pemulihan itu merupakan bukti komitmen Sarawak dalam memelihara sejarah warisan untuk generasi akan datang.
Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pula, bagi memastikan keselamatan orang ramai, Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, mempunyai pengurusan risiko pintar dalam sempadan, serta SOP yang ketat.
Adakah STB akan menyediakan perniagaan pelancongan untuk masa depan digital?
Ya, selaras dengan Agenda Pendigitalan Sarawak, STB akan melancarkan Dana Ekosistem Pelancongan Sarawak (STOEF), sebuah program pemangkin untuk mengembangkan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri pelancongan untuk membina, menambah baik atau meningkatkan laman web mereka, mengatur kos enjin tempahan kandungan dan pengiklanan digital.
Ia memberi tumpuan kepada pemain pelancongan di kawasan luar bandar. Selain itu, terdapat juga Program Jejak Digital, di mana STB memperkasakan komuniti tempatan untuk mula mencipta jejak digital mereka sendiri untuk memaparkan produk pelancongan mereka di peta dunia.
Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan keperluan untuk pendigitalisasi. Oleh itu, dengan melibatkan kumpulan berpendapatan rendah untuk menyertai program berasaskan kemahiran, ia akan membantu meningkatkan pendapatan mereka dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kelestarian industri pelancongan.
Pembuat kraftangan boleh memasarkan produk mereka secara langsung tanpa memerlukan orang tengah. Pemilik homestay juga diberi keupayaan untuk mencipta keterlihatan produk mereka.
Bagaimanakah cara STB mengekalkan pelancongan yang bertanggungjawab di Sarawak?
Lembaga pelancongan Sarawak mengetengahkan dan menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Pendidikan Berkualiti, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab dan Perkongsian untuk Matlamat.
Pelancongan bertanggungjawab (RT) adalah bagi meminimumkan kesan negatif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial sambil menjana manfaat ekonomi yang lebih besar untuk penduduk tempatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam memperbaiki keadaan kerja dan akses kepada industri.
Agenda RT STB adalah mengenai melindungi alam sekitar dan memperkasakan komuniti setempat untuk mencapai daya maju.
STB telah secara aktif menganjurkan pelbagai program berorientasikan alam sekitar dan berasaskan kemahiran, bukan sahaja untuk menyokong kemampanan pelancongan kepada penduduk luar bandar, pinggir bandar dan luar bandar Sarawak, malah turut memperkasakan kumpulan berpendapatan rendah dengan keupayaan untuk meningkatkan pendapatan mereka dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk memenuhi agenda RT itu.
Seramai 37,221 orang telah menerima manfaat daripada program-program itu pada 2020 dan 9,826 orang pada 2021, menghasilkan sejumlah 47,047 peserta dari Fasa 1 hingga 3.
Laman mikro RT turut disediakan untuk mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran mereka tentang RT.
Kami turut melaksanakan ikrar RT yang menguatkuasakan komitmen berat STB dalam menerapkan amalan RT dalam aktiviti pelancongan.
Apakah kempen dan rancangan akan datang yang telah ditetapkan oleh STB?
Antara kempen kami pada tahun ini adalah, kempen jenama tempatan pelancongan dan sytaycation STB iaitu Sia Sitok Sarawak (SSS) 3.0 dan Sia Sitok Sarawak Accommodation (SSSA) 2.0 yang promosinya akan berakhir pada akhir bulan ini, namun ia sudah habis dijual sepenuhnya pada minggu pertama April.
Kedua-dua kempen tempatan itu telah mengumbul RM3.6 juta jumlah jualan dengan SSS 3.0 menjana jualan lebih RM1.8 juta dengan 467 pakej pelancongan yang telah dijual manakala, SSSA 2.0 meraih lebih RM1.8 juta jualan dengan 8,295 bilik yang telah ditempah di bawah 47 hotel yang mengambil bahagian di seluruh Sarawak.
Bagi acara pula, acara utama yang akan datang ialah acara ikonik Sarawak Rainforest World Music Festival (RWMF) (17-19 Jun 2022) dan Borneo Jazz Festival (BJF) (24-26 Jun 2022).
Ia akan menjadi acara hibrid pertama di Malaysia, secara fizikal di tapak Kampung Budaya Sarawak dan juga melalui penstriman pada platform dalam talian.
Bagi RWMF, tahun ini akan menjadi tahun yang sangat istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-25 acara itu dan penonton boleh menikmati pengalaman baharu festival itu di mana penghibur dari laman fizikal dan di dalam talian bersatu melalui irama muzik.
Nantikan pengumuman untuk kedua-dua acara itu dan kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai di seluruh dunia ke Sarawak untuk merasai pengalaman RWMF dan BJF sama ada secara fizikal atau maya.
Berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 oleh kerajaan Sarawak, apakah yang ingin dicapai oleh sektor pelancongan Sarawak menjelang 2030?
Sektor pelancongan menyasarkan untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama untuk eko-pelancongan dan acara perniagaan di rantau ASEAN.
Sasaran utama adalah sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi, sebanyak 11 peratus menjelang 2030.
Kedua, kami menyasarkan untuk meningkatkan kadar ketibaan tahunan sebanyak 7.5 peratus dalam ketibaan pelawat dengan peningkatan tempoh penginapan daripada 5.5 malam kepada 7.5 malam.
Akhir sekali adalah, penjanaan pekerjaan, 25 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam sektor pelancongan dan perhotelan. – UTUSAN










