Lebih kurang dua minggu sahaja lagi Aidilfitri bakal menjelang tiba setelah sebulan umat Islam berpuasa.
Ketika ini, sudah tentulah ramai yang sedang rancak membuat persiapan raya terutamanya golongan ibu dan juga isteri.
Seperti tahun-tahun lalu, media sosial juga sudah dibanjiri dengan luahan rasa dan rintihan suami yang pening dan letih dengan persiapan raya isteri.
Ada yang memuat naik gambar terpaksa ‘bersidai’ lama di satu-satu kedai sambil menunggu isteri membeli-belah, mengikut isteri ‘bertawaf’ tiga hingga empat kedai sehari ketika berpuasa, malah ada juga yang terpaksa berkompromi dengan isteri untuk berpakaian sedondon semasa hari raya nanti.
Melihatkan kepada senario itu, wanita diperlihatkan sebagai boros atau melebih-lebih ketika menyambut sesuatu perayaan. Benarkah begitu?
Menjawab kepada persoalan berkenaan, Pakar Psikiatri Dr. Nathratul Ayeshah Zulkifli berkata, pertama sekali penting untuk memahami perbezaan personaliti antara lelaki dan wanita.
Katanya, kajian personaliti oleh Paul Costa pada tahun 2001 menggunakan 23,000 responden lelaki dan perempuan dengan 26 budaya berbeza merangkumi Amerika Syarikat, Hong Kong, India dan Rusia mengatakan perempuan berpersonaliti lebih hangat, mesra, sensitif dan cemas manakala lelaki pula lebih tegas, spesifik, logik dan lebih rasional.
Kajian lebih lanjut pada 2012 berkenaan jantina dan cara berfikir ketika berbelanja pula mendapati perempuan lebih tertarik kepada tiga aspek iaitu jenama, dorongan membeli dan dorongan kepuasan hati berbanding lelaki.
“Ini disebabkan, perempuan melihat beli belah sebagai aktiviti rekreasi juga aktiviti sosial, sering pergi berbelanja bersama teman dekat dan keluarga sehingga mempunyai kecenderungan melihat-lihat tempat baharu lain sebagai peluang berbelanja.
“Berbanding lelaki yang hanya berbelanja untuk memburu barang spesifik yang ingin dibeli sahaja, dan lebih kepada keluar berbelanja kerana tugas serta tanggungjawab,” katanya kepada Seri.
Ciri berbeza
Dr. Ayeshah berkata, terdapat evolusi psikologi berbeza antara lelaki dan perempuan secara biologi, fisiologi dan psikologi.
Dalam cara berfikir, pergerakan informasi perempuan sangat laju berlaku di antara otak kanan dan kiri menyebabkan mereka lebih cenderung memikirkan banyak perkara dalam satu masa.
Kondisi banyak berfikir sewaktu membeli-belah itulah menyebabkan wanita seringkali mengambil masa lama kerana mereka selalunya tidak hanya memikirkan diri sendiri sebaliknya turut memikirkan barangan untuk ahli keluarga lain seperti ibu, ayah, anak-anak dan juga suami.
Selain itu, struktur antara otak kiri dan kanan bernama Corpus Collusom bagi perempuan adalah lebih tebal dengan kadar pemindahan buah fikiran lebih cepat.
“Ini dapat dilihat perempuan lebih kerap berganti-ganti mencuba baju yang mahu dibeli, atau berkali-kali mencari-cari ke pelbagai kedai.
“Keadaan ini menyebabkan perempuan lebih kepada task- switching, berpindah-pindah daripada satu item kepada item lain ketika membeli-belah. Maksudnya, mereka beraksi secara multi-tasking.
“Sedangkan lelaki lebih cenderung dan mahir melakukan sesuatu secara fokus dan dilihat lebih baik melakukan kerja-kerja berunsur navigasi atau pembacaan peta,” ujarnya.
Perbezaan juga dapat dilihat daripada sudut pandangan lelaki dan wanita. Lelaki dikatakan mempunyai sudut pandangan burung (bird eye view) iaitu melihat semua perkara secara sama sahaja manakala wanita lebih spesifik tentang sesuatu.
“Contoh paling mudah, lelki akan tengok baju Melayu atau kurta itu semua sama sahaja tetapi isteri bentuk jahitan, kain dan corak perlu dipertimbangkan sebelum membeli. Itu yang jadi lambat hendak membeli.
“Selain itu, cone cells atau mata penumpuan wanita juga lebih sensitif berbanding suami sebab itu suami kalau tengok warna hijau dia akan nampak hijau sahaja tapi bagi kaum wanita hijau ada bermacam tona. Hijau pucuk pisang, hijau pudina atau hijau emerald,” katanya.
Suami perlu teman
Dr. Ayesha yang juga Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, suami perlu membuat pemilihan, bukannya lepas tangan dalam hal persiapan raya dengan membiarkan isteri menguruskan semua perkara daripada segi makanan dan pakaian bersendirian.
“Selain membantu, suami juga dapat mengetahui apa yang isteri beli. Kadang-kadang isteri bukan beli untuk diri sendiri, sebaliknya banyak untuk keluarga supaya tampil sempurna di Aidilfitri.
WANITA MENGURUS
Ustazah Asmak Husin berkata, sifat wanita yang sebegitulah menyebabkan mereka sering dianggap boros.
Sedangkan mereka mahukan yang terbaik buat kelaurga.
“Perempuan adalah pihak yang menguruskan rumahtangga, jadi mereka lah yang beli itu dan ini. Itu yang orang kata boros.
“Begitupun apa yang lebih penting adalah mencari berkat pada Ramadan dan Syawal. Berbelanjalah mengikut yang termampu sahaja,” ulasnya.
Dalam menyambut lebaran orang ramai terutamanya pasangan suami isteri perlu bijak berbelanja mengikut ajaran Islam dengan berbelanja semampunya sahaja.
Jadi, jika ada yang sanggup berhabisan dan berbelanja lebih daripada pendapatan, golongan berkenaan adalah tergolong dalam kalangan orang yang tidak mengikut ajaran Islam.
“Sedangkan sambutan Syawal adalah untuk meraikan kejayaan kita bebas daripada hawa nafsu dan ajakan syaitan, tak akan tiba-tiba hendak ikut pula perangai syaitan?
“Islam ajar keperluan jangan melebihi kehendak, itu cara hidup Islamik. Risau kalau selalu berbelanja lebih, ‘paip’ duit akan tersumbat maka ketika itu sudah tidak peduli lagi halal dan haram demi mendapatkan duit,’’ katanya.
Tanggungjawab suami
Asmak menegaskan, berbalik kepada konsep pengurusan keluarga, keperluan asasi seperti makanan dan pakaian adalah tanggungjawab suami.
Pakaian raya dan juadah raya juga wajib suami sediakan dan tidak boleh membiarkan isteri yang menanggung.
“Melainkan isteri yang melebih-lebih minta itu ini, maka tidak perlu suami tunaikan. Kalau isteri hendak lebih, isteri sendiri perlu sediakan asalkan perkara yang asas tadi suami sudah tunaikan.
“Macam langsir pula, kalau sudah terlalu lama tidak bertukar dan sudah tidak sempurna lagi maka jadi tanggungjawab suami untuk menukar. Tapi, kalau saja-saja isteri hendak tukar sebab hendak ikut trend itu bukan tanggungjawab suami,” katanya.
Jangan miskin lepas raya
Dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga dan sanak-saudara, sudah tentu raya kali ini ramai yang teruja berkumpul bersama.
Dalam keterujaan itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman menyarankan orang ramai agar berbelanja bijak supaya tidak ‘miskin’ selepas itu.
“Pengurusan kewangan untuk menyambut perayaan ini sebenarnya perlu dilakukan awal sebelum masuk Ramadan lagi.
“Kita patut sudah ada bajet supaya kita tidak perlu gunakan gaji semasa untuk berbelanja.
“Contoh macam sekarang ini, kalau tidak menyimpan sudah tentu ramai yang akan guna gaji Mac atau April untuk belanja raya sedangkan setiap bulan kita ada komitmen tetap. Dibimbangi bila sudah beli persiapan raya, ada komitmen lain tersangkut seperti bil kereta, rumah dan sebagainya,” katanya.
Pesannya, bagi mereka yang belum ada simpanan, kawal nafsu membeli dengan baik dan berfikir panjang untuk perbelanjaan selepas Aidilfitri.
‘Suami jangan bersidai pula’
“KALAU kita biar orang lelaki buat persiapan raya, depa beraya dengan biskut kering pun tak kisah. Janji raya!” Itu kata seorang kawan dalam grup WhatsApp rakan sekolah baru-baru ini.
Rumah tak berhias pun tak apa, sebab kemas-kemas sangat pun hendak buat apa? Nanti bersepah balik, kata kawan saya itu lagi.
Sebenarnya, itu ayat yang sering keluar dari mulut kebanyakan suami, kalau dia yang menyepahkan rumah. Tetapi bila barang anak atau isteri yang bersepah, boleh tahan juga dia bebelkan isteri bila pulang dari kerja.
“Orang lelaki ini memang malas hendak fikir pasal persiapan raya. Asalkan dia ada baju Melayu untuk solat raya dan dapat makan macam-macam juadah raya yang dimasak isteri, itu sudah cukup,” tambahnya.
Tak mahu fikir pasal tema baju raya, langsir raya, baju raya apatah lagi duit raya! Tetapi bila isteri pilih tema warna merah jambu, bising pula.
Saya tertawa. Bukan semua orang lelaki begitu. Ada juga yang cukup cerewet mengalahkan isteri. Semua persiapan mahu sempurna.
Pernah juga saya dengar, ada suami yang tak suka meja makan tak banyak hidangan. Kalau boleh meja itu mesti penuh dengan lauk pauk dan kuih muih, baru meriah!
Susun atur perabot rumah pun, suami yang buat. Langsir pun suami yang pilih.
Tetapi itulah, suami sebegini tak ramai. Yang ramainya, segala-gala persiapan raya mahu isteri uruskan semuanya.
Kata seorang lagi rakan, suaminya lebih sibuk dengan aksesori kereta.Hari raya kereta kena beraya sama! Hal-hal rumah dan anak, itu isteri yang selesaikan.
Pada saya, orang lelaki patut dilibatkan dalam persediaan menyambut Hari Raya. Sebabnya, selain semua hal dapat mencapai persetujuan bersama, ia juga boleh mengelakkan pembaziran. Maklumlah wanita sering dikaitkan dengan rambang mata ketika membeli-belah.
Kalau berbelanja lebih atau tersilap beli saiz baju atau kasut dan sebagainya, isteri juga dipersalahkan. Walhal suami lebih suka bersidai sambil tersenyum sendiri membelek telefon pintar di kaki lima pusat beli-belah daripada menemani isteri dan anak-anak membeli persiapan.
Bukankah elok kalau sama-sama memilih dan merancang segala perbelanjaan supaya tidak over budget dan kena makan biskut kering pula sementara menunggu gaji.
Memang selalu kita dengar, sebelum raya, semua nampak macam orang kaya ketika berbelanja. Bila masuk seminggu raya, tiba-tiba macam sudah jatuh miskin. Masa inilah, timbul salah menyalah. Masa itu suami pula ‘playing victim’. Ini biasa.
——–
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia










