PETALING JAYA: Cagamas Berhad (Cagamas) mengumumkan kejayaan penetapan harga RM300 juta untuk Kadar Untung Terapung setahun Nota Kewangan Jangka Sederhana Islamik (IMTN).
Hasil daripada IMTN akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan rumah daripada sistem kewangan.
Urus niaga itu juga mewakili IMTN pertama syarikat dengan mekanisme kadar terapung sejak Jun 2014.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, kejayaan memuktamadkan IMTN menunjukkan usaha berterusan syarikat dalam membangunkan pasaran modal dalam negara melalui terbitan pelbagai struktur.
“Ia juga memenuhi keperluan pasaran dalam persekitaran kadar faedah semasa yang menyumbang secara positif kepada pasaran sukuk domestik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Cagamas, IMTN dengan mekanisme kadar terapung, menarik pelabur kerana ia menyediakan potensi pulangan yang lebih tinggi di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang meningkat.
Jelasnya, ia berjaya dinilai melalui penempatan persendirian pada Kadar Tawaran 3 bulan Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) atau bersamaan dengan 2.12 peratus berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh harga.
Terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat bagi tahun tersebut kepada RM5.6 bilion.
“IMTN yang akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, pada kedudukan pari passu dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada yang lain,” katanya. – UTUSAN










