Saham Scomi didagangkan pada rekod terendah.

Saham Scomi merosot 80 peratus ke paras terendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Scomi Group Bhd. didagangkan pada rekod terendah sepanjang masa iaitu setengah sen pada rehat tengah hari semalam, selepas susut dua sen atau 80 peratus di tengah-tengah potensi penyahsenaraian syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

Kira-kira 33.16 juta saham telah didagangkan dan pada setengah sen sesaham, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu hanya bernilai RM4.56 juta.

Kelmarin, Scomi mengumumkan bahawa syarikat berdepan risiko dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berikutan penolakan permintaan pengawal selia bagi lanjutan masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Dagangan sahamnya dijadualkan untuk penggantungan berkuat kuasa 20 April ini.

Scomi memaklumkan, syarikat akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama pada 22 April melainkan ia memfailkan rayuan terhadap penyahsenaraian itu menjelang 18 April.

“Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa itu tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa. Sebarang rayuan yang dikemukakan dalam tempoh masa akan menangguhkan penyahsenaraian sementara menunggu keputusan rayuan.

“Bagaimanapun, Bursa akan meneruskan untuk menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 20 April walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai,” katanya.

Dalam pemfailan berasingan kelmarin, Scomi memaklumkan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap penyahsenaraian dalam tempoh masa rayuan.

Scomi jatuh ke dalam status PN17 pada Disember 2019 selepas tebaran ekuiti pemegang sahamnya susut di bawah 25 peratus daripada modal saham terbitannya dan ekuitinya turun di bawah RM40 juta berdasarkan keputusan kewangannya bagi suku berakhir 30 Jun 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×