Itu sebabnya Too Phat berakhir – Joe Flizzow - Utusan Malaysia

Itu sebabnya Too Phat berakhir – Joe Flizzow

Too Phat gandingan mantap Joe Flizzow dengan Malique.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kegemilangan muzik hip hop memuncak sekitar penghujung era 90-an dengan kemunculan kumpulan Too Phat, yang ketika itu gigih menempa nama dalam dunia hiburan tempatan.

Too Phat bukan sekadar sebuah kumpulan hip hop. Tetapi juga legenda yang banyak berjasa dalam membangunkan muzik hip hop di Malaysia.

Tetapi tidak siapa menyangka, sebuah jenama yang masyhur dan terkenal akhirnya terkubur, bertemu penghujungnya sekitar tahun 2007.

Namun perjalan seni dua anggotanya, Malique dan Joe Flizzow tidak ternoktah. Kedua-duanya masih mengukir nama tetapi dengan haluan dan cara masing-masing.

Kita melihat Joe Flizzow masih rancak berkarya dan membuat persembahan sementara Malique bergerak dengan caranya yang tersendiri.

Dalam satu pertemuan di stadium Sultan Ibrahim, Johor baru-baru ini, Joe, 42, menegaskan Too Phat sudah berakhir dan kemunculan semula kumpulan itu adalah sesuatu yang mustahil.

Itu adalah realiti yang harus diterima peminat-peminat tegar, yang sehingga kini masih menyimpan harapan untuk melihat kemunculan semula kumpulan tersebut.

“Too Phat tidak akan muncul semula. Sudah tak ada, hanya tinggal memori. Saya sudah tidak berminat tentang itu. Saya dah bergerak ke depan.

“Namun untuk hasilkan lagu bersama, sudah tentu. Malique adalah sahabat baik dan kami seperti keluarga. Kadang saya terfikir, lagu ini kalau Macai (Malique) ada, baik juga.

“Tetapi, itulah, mungkin ia akan berlaku di masa akan datang. Bukan sebagai Too Phat, tetapi Malique dan Joe Flizzow,” katanya.

Disoal tentang hubungan antara dia dan Malique, Joe mengakui mereka masih berkawan seperti biasa dan masih berjumpa meskipun sudah tidak lagi menghasilkan muzik bersama.

“Kami masih berjumpa. Saya tidak perlu uar-uarkan persahabatan kami.

“Tetapi, kalau anda tanya kepada dia, antara kawan dia yang masih ada, sudah tentu nama saya ada dalam senarai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Joe berkata pengakhiran Too Phat adalah disebabkan perbezaan dan kehendak yang lahir dalam diri masing-masing. Dia memiliki keinginan yang berbeza dengan apa yang dimahukan Malique.

“Too Phat adalah memori yang indah. Tetapi ia sudah berakhir. Namun, kita tak tahu apa akan berlaku di masa akan datang. Malique tidak mahu menonjol ke depan. Berbeza dengan saya, mahu menyerlah di mana-mana.

“Dari segi muzik, citarasa kami berbeza. Kami sudah matang. Itu sebabnya Too Phat berakhir,” jelasnya.

MEMBAWA ASPIRASI JDT SATU PENGHORMATAN
Kolaborasi bersama legenda hip hop dunia, Snoop Dogg menerusi lagu tema pasukan bola sepak gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukir satu lagi sejarah peribadi seorang Joe Flizzow.

Lagu Pioneers diterbitkan oleh SonaOne itu berinspirasikan kegigihan dan kesungguhan pasukan bola sepak ternama itu telah membawa satu anjakan paradigma bukan sahaja kepada industri hiburan tanah air, malah dunia bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Menurut Joe, dia merasakan satu penghormatan besar apabila bukan sahaja dapat bekerjasama dengan nama besar hip hop, malah membawa aspirasi JDT ke mata dunia.

“Tunku Ismail pernah suarakan kepada saya pada tahun-tahun sebelum ini. Idea untuk membuat lagu bagi pasukan JDT untuk musim baru adalah datang daripada baginda.

“Proses rakaman berjalan mudah, hanya mengambil beberapa minggu untuk disiapkan. Kami berhubung melalui Zoom. Hampir setiap hari berinteraksi. Saya dan Sona One siapkan demo dan serahkan kepada pihak pengurusan Snoop Dogg. Mereka faham dan menyukainya,” katanya.

Kata anak kelahiran Johor Bahru ini, menghasilkan lagu untuk sebuah pasukan bola sepak gergasi menjadi satu pengalaman baru untuknya meskipun dia seorang peminat yang sejak dahulu menyanjungi JDT.

“Kami susun dan hasilkan demo pertama. Saya serahkan kepada Tunku Ismail yang ketika itu berada di Dubai. Baginda menyukainya. Tunku Ismail juga minat kepada muzik hip hop. Saya berpandangan, citarasa muzik kami tidak jauh berbeza.

“Namun, untuk lagu ini, apa yang penting adalah untuk kami sampaikan mesej JDT itu sendiri. Menjadi inspirasi kepada anak-anak muda,” ujarnya.

Mengulas tentang kerjasama dengan Snoop Dogg, Joe memberitahu bahawa semua proses, dari awal sehingga akhir berjalan lancar meskipun dunia masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Ini kerjasama kedua dengan Snoop Dogg. Ia bermula dengan perbualan kami yang diadakan pada awal tahun ini. Semua ini berlaku kerana Snoop pada waktu itu menjalin kerjasama dengan Def Jam, begitu juga saya yang menggerakkan Def Jam di sekitar Asia Tenggara.

“Walaupun Snoop Dogg sudah berusia dan agak lama dalam dunia hip hop, dia masih relevan lebih-lebih lagi apabila diundang untuk membuat persembahan dalam acara Super Bowl di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Pada saya, dia calon paling sesuai untuk lagu ini dan harapan saya lebih banyak kerjasama antara kami selepas ini,” jelasnya.

TANGGUH PENGHASILAN ALBUM BARU
Joe memaklumkan bahawa dia sudah memiliki perancangan mengeluarkan sebuah album berjudul Johan.

Namun ia terpaksa ditangguhkan memandangkan keadaan semasa yang masih tidak menentu gara-gara Covid-19.

“Saya telah tulis 15 buah lagu. Album ini juga melibatkan beberapa bakat dalam dan luar negara termasuk dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Namun saya terpaksa tangguhkan hasrat untuk keluarkannya buat masa ini. Mungkin tidak lama lagi, pada bila-bila masa. Saya menunggu masa sesuai.

“Rakan penaja yang mahu menggerakkan program jelajah. Ada hasrat untuk pergi ke setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak dan luar negara. Tetapi itulah, masih menunggu garis panduan yang jelas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kegiatan seni kita” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×