AirAsia X memperluaskan rangkaian penerbangan Ke Korea, India

AirAsia X terbang ke Korea, India

AirAsia X menawarkan penerbangan dua kali seminggu ke New Delhi dan pulang pada hari sama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETAlING JAYA: Syarikat penerbangan AirAsia X (AAX) memperluaskan rangkaian penerbangannya dari Kuala Lumpur dengan perkhidmatan baharu ke Incheon (Seoul), Korea Selatan dan New Delhi, India bermula 20 April ini.

Menurut AAX, penerbangan ke Incheon (Seoul) akan beroperasi sekali minggu pada Rabu dan kembali, Khamis.

“Penerbangan ke New Delhi pula akan disambung semula dua kali seminggu pada Rabu dan Ahad dengan penerbangan pulang pada hari yang sama. Kedua-dua perkhidmatan ini tersedia untuk perjalanan antara 20 April hingga 30 Jun 2022, dengan perkhidmatan tambahan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, tetamu yang mempunyai tempahan tertunggak atau Akaun Kredit boleh menggunakannya untuk membuat tempahan dengan mengemas kini tempahan penerbangan asal mereka untuk perjalanan masa hadapan atau menggunakan akaun kredit mereka bagi membuat tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benjamin Ismail berkata, syarikat akan menyambung semula penerbangan ke pasaran utama secara beransur-ansur, bermula dengan Sydney diikuti Korea Selatan dan India, serta banyak lagi destinasi popular tidak lama lagi.

Beliau yakin, penyambungan semula perkhidmatan itu akan diterima baik, terutamanya bagi mereka yang ingin melawat rakan-rakan dan keluarga atau untuk percutian.

“Sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April dan perjalanan tanpa kuarantin untuk kedua-dua buah negara, ini juga adalah masa yang sesuai untuk mengalu-alukan kedatangan semula pelancong antarabangsa, seterusnya memacu sektor pelancongan dan ekonomi negara, seperti yang kami telah lakukan sebelum pandemik.

“Kami terus mengutamakan para tetamu dan walaupun kami tidak dapat terbang sejak dua tahun lalu berikutan pandemik ini, kami berbesar hati untuk mengesahkan bahawa mereka yang mempunyai tempahan tertunggak atau Akaun Kredit kini boleh menggunakannya ini untuk membuat tempahan ke destinasi-destinasi ini.

“Kami juga sedang menyediakan baucar perjalanan untuk para tetamu yang mempunyai kredit tertunggak, untuk digunakan bagi tempahan masa hadapan yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Kami berterima kasih kepada tetamu kami atas kesabaran mereka dan kerana memahami situasi kami dan tidak sabar untuk mengalu-alukan mereka kembali terbang bersama kami,” katanya.

Menurut AAX, tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur (KL) ke Incheon bermula daripada RM659 untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM2,199. Sementara dari Incheon (Seoul) ke KL, tambang bermula daripada KRW246,500 dan KRW799,500. Tetamu yang menempah penerbangan ini dapat menikmati tambahan bagasi kabin sebanyak 7 kilogram secara percuma.

Bagi penerbangan KL-New Delhi pula, tambang daripada RM484 termasuk semua, atau tetamu boleh memilih untuk menikmati Premium Flatbed daripada RM1,699. Sementara dari New Delhi-KL, tambang bermula daripada INR8,389 dan INR24,225.

Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon ‘Flights’ di airasia Super App atau laman web hingga 24 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×