PETALING JAYA: Maybank telah bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN untuk memperkenalkan Program Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) 2022, program biasiswa pertama oleh organisasi serantau dengan kerjasama Sekretariat ASEAN.
Menurut Maybank, biasiswa tersebut melibatkan pelaburan kira-kira RM5 juta untuk pengambilan tahun ini sehingga 2025.
“Ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank untuk melabur dalam masa hadapan belia ASEAN melalui pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Maybank, AMS direka untuk menyediakan warga ASEAN yang muda, berbakat dan layak, terutamanya
mereka daripada segmen berpendapatan rendah, dengan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran sarjana muda di universiti berprestij di luar negara mereka sendiri, tetapi di dalam rantau ASEAN.
Jelasnya, untuk pengambilan pertama tahun ini, sebanyak tiga biasiswa ditawarkan, yang akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 10 setahun menjelang 2025 dan seterusnya.
Pengerusi Maybank yang juga Pengerusi Yayasan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, Maybank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN melancarkan pengambilan pertama program biasiswa itu kepada pelajar yang layak di rantau ini.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk melabur dalam generasi akan datang melalui pendidikan dan menggalakkan persefahaman yang lebih mendalam di kalangan rakyat ASEAN.
“Ia juga sejajar dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan menyokong salah satu daripada empat komitmen kemampanan utama dalam Pelan M25 kami, yang meningkatkan kehidupan sejuta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025,” katanya.
Zamzamzairani berkata, Maybank berharap program biasiswa AMS akan menggalakkan integrasi intra-ASEAN yang lebih besar dengan meningkatkan hubungan pendidikan di antara negara anggota.
Katanya, ia direka untuk meletakkan asas bagi pengalaman silang budaya yang transformatif yang akan memberi kesan luas kepada penerimanya.
“Inilah sebabnya kami mempunyai sasaran untuk menaja 25 pelajar yang layak dari 10 negara ASEAN menjelang tahun 2025. Kami berharap penerima akan terus memberi impak positif kepada komuniti mereka dengan menjadi pemacu perubahan dan pemimpin, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial rantau ini,” kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, Tan Duc Binh berkata, biasiswa ASEAN-Maybank menunjukkan komitmen ASEAN bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menyediakan belia untuk masa depan yang lebih cerah dengan meningkatkan peluang pendidikan dan pekerjaan.
“Sekretariat ASEAN memandang ke hadapan untuk kejayaan pelaksanaan biasiswa ini demi membawa lebih banyak peluang kepada belia, pemimpin masa depan kita,” katanya.
Bagi pengambilan sulung AMS 2022, tiga biasiswa itu akan disediakan untuk mahasiswa-mahasiswi tahun pertama yang akan ditempatkan di universiti awam terkemuka di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, dan akan berkembang secara beransur-ansur ke negara ASEAN yang lain.
Pelajar boleh menjalani program pembelajaran tiga atau empat tahun dalam bidang-bidang seperti kewangan, teknologi maklumat, psikologi, ekonomi, pemasaran, undang-undang, sumber manusia, perbankan, matematik, atau kursus berkaitan kesediaan masa depan (future ready) seperti pengaturcaraan, pengekodan, reka bentuk kreatif, data dan sains. – UTUSAN










