PETALING JAYA: Visa Inc. telah melancarkan Visa Creator Program (Program Karyawan Visa), inisiatif bagi membantu penggiat seni, pemuzik, pereka fesyen dan pembuat filem dalam dunia digital mengembangkan perniagaan mereka menerusi non-fungible token (NFT) atau token tidak boleh ditukar ganti.
Menurut Visa, setiap kitaran program akan menyokong sekumpulan usahawan terpilih yang ingin memperdalam pemahaman mereka tentang teknologi dan platform yang menyokong perdagangan NFT.
Jelasnya, program berkenaan menyokong pertumbuhan ekonomi karyawan digital, salah satu kategori perniagaan kecil yang paling pantas berkembang dengan saiz pasaran dianggarkan bernilai lebih AS$100 bilion (RM420.85 bilion) .
“Buat masa ini, kira-kira 50 juta penggiat seni, pemuzik dan semua pencipta lain menerbitkan kandungan sebagai sumber pendapatan secara sepenuh masa atau sambilan.
“NFT boleh menentusahkan pemilikan dan kesahihan bahan dan media digital, seperti imej, video dan muzik, sekali gus membantu karyawan menjana hasil dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Kripto Visa, Cuy Sheffiled berkata, NFT berpotensi untuk menjadi faktor pendorong yang memacu kepesatan ekonomi karyawan.
“Kami telah mengkaji ekosistem NFT dan kesan potensinya terhadap masa depan sektor perdagangan, runcit dan media sosial. Menerusi Program Karyawan Visa, kami ingin membantu kumpulan peniaga kecil dan mikro baharu memanfaatkan medium baharu bagi perdagangan digital,” katanya.
Program itu ditujukan kepada usahawan yang berkecimpung dalam dunia seni, muzik, fesyen dan filem yang benar-benar serius mahu menerapkan NFT ke dalam model perniagaan masing-masing, sama ada mereka baru sahaja menghasilkan NFT pertama mereka atau telah berjaya menghasilkan beberapa NFT.
Karyawan terpilih akan menyertai program kohort yang dirangka untuk membina dan mendalami ilmu pengetahuan mereka dalam perdagangan kripto dan pembayaran tradisional.
Program itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk membantu perniagaan kecil dan mikro meluaskan lagi capaian ekonomi digital. Menerusi inisiatif berasaskan masyarakat seperti Program Karyawan Visa dan She’s Next, Visa memberi tumpuan untuk membuka peluang perniagaan kepada perniagaan kecil dan mikro untuk mendapatkan dana, sumber dan kepakaran.
Visa ialah pemimpin dalam pembayaran digital, yang menyelaraskan lebih 215 bilion transaksi pembayaran antara pengguna, peniaga, institusi kewangan dan entiti kerajaan di lebih 200 negara dan wilayah setiap tahun. – UTUSAN










