Grab, Sea dilaporkan hilang nilai pasaran saham berjumlah AS$71 bilion

Grab, Sea hilang nilai pasaran AS$71 bilion

Remaja memilih ceburi ekonomi gig dikenal pasti punca permohonan masuk ke institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menurun ketara tahun lalu berbanding tahun 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Dua firma baharu terbesar Singapura iaitu Grab Holdings Ltd. dan Sea Ltd. telah disebut-sebut sebagai ‘benda besar’ selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat dilaporkan kehilangan nilai pasaran saham berjumlah AS$71 bilion (RM299.41 bilion) pada tahun ini.

Saham syarikat e-hailing, Grab telah berkurangan lebih separuh sejak awal tahun, manakala harga saham syarikat permainan dan e-dagang gergasi, Sea jatuh sebanyak 46 peratus.

Kedua-dua firma yang tersenarai di AS itu berada di paras bawah Indeks MSCI ASEAN, dengan Grab antara yang mengalami kerugian terbesar.

Kemerosotan itu berlaku beberapa bulan selepas MSCI Inc menambah saham kepada indeks­nya untuk memberikan pemain serantau lebih banyak pendedahan kepada saham ekonomi baharu.

Penjualan teknologi dan minat global yang semakin berkurangan dalam syarikat pemerolehan tujuan khas telah menjejaskan firma tersebut, menurut laporan.

“Pelabur pasif akan kehilangan sedikit wang pada saham ini. Reaksi harga masa hadapan bergantung kepada prestasi syarikat dan persekitaran makro global, kedua-duanya tidak kelihatan sangat menggalakkan pada masa ini,” kata Brian Freitas, penganalisis laman web bebas Smartkarma.

Grab disenaraikan dalam Indeks MSCI ASEAN pada Februari, mendapat sambutan hangat selepas penggabungannya dengan Altimeter Growth Corp. Sea pula tersenarai lebih awal iaitu pada Mei 2021.

Freitas menganggarkan bahawa pegangan pasif Sea dan Grab ma­sing-masing menghampiri AS$2.8 bilion (RM11.81 bilion) dan AS$280 juta (RM1.18 bilion). Dianggarkan, saham kedua-dua syarikat telah kehilangan nilai pasaran berjumlah AS$71 bilion (RM299.41 bilion) tahun ini.

Sea, dengan peneraju media sosial China, Tencent Holdings Ltd. sebagai pemegang saham terbesar, mempertaruhkan pertumbuhan di unit runcit dalam taliannya, Shopee kerana cabang permainannya menghadapi tem­pahan yang lebih perlahan.

Bagaimanapun, Sea menutup operasi e-dagang utamanya di India pada 29 Mac, selepas negara itu mengharamkan Free Fire bersama berpuluh-puluh aplikasi lain dari China, atas faktor keselamatan.

“Trajektori pertumbuhan Shopee mendatar dengan cepat di India dan Perancis,” kata Oshadhi Kumarasiri, penganalisis ekuiti di LightStream Research.

Sementara itu, kerugian Grab semakin meningkat dan firma itu terus berbelanja besar untuk pemberian subsidi.

Namun, penganalisis dilihat lambat menurunkan harga sasaran memandangkan status kedua-dua syarikat itu sebagai peneraju pasaran di Asia Tenggara. Mereka menjangkakan pulangan sekurang-kurangnya 68 peratus pada kedua-dua saham dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×