SEREMBAN: Bagi menampung kekurangan tenaga kerja meruncing ketika ini, hotel-hotel terpaksa bergantung kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan kolej yang datang untuk menjalani latihan amali.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, hotel terlibat bernasib baik kerana pelajar amali dalam bidang perhotelan dapat mengatasi masalaha kekurangan tenaga kerja buat sementara waktu.
“Kami tiada pilihan, hotel kembali beroperasi dan mahu berikan perkhidmatan kepada tetamu namun kami kekurangan tenaga kerja termasuklah dalam bidang pembersihan dan landskap.
“Sebelum ini tugas-tugas berkenaan diisi tenaga kerja asing yang kini proses pengambilannya belum selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, ada juga majikan terpaksa mengeluarkan belanja besar dengan menawarkan kerja lebih masa kepada pekerja di unit lain untuk melakukan tugas seperti membersihkan bilik.
“Industri hotel memang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja. Hotel menawarkan gaji sehingga RM9 sejam untuk pekerja separuh masa tetapi tawaran itu juga tidak menarik minat.
“Bagi memastikan hotel terus beroperasi, pekerja-pekerja sedia ada seperti di bidang pentadbiran dan pengurusan akan diminta melakukan pelbagai tugas terutama hujung minggu,” katanya.
Haziz berkata, pihak hotel juga bersedia membawa masuk pelajar bidang perhotelan dari kolej-kolej di Medan, Indonesia bagi menjalani latihan di negara ini yang dilihat mampu menampung isu kekurangan tenaga kerja tersebut.
“Pihak berwajib di Indonesia bersetuju menghantar kira-kira 500 pelajar untuk menjalani latihan di hotel-hotel di sini dan saya jangkakan mereka tiba pada bulan Jun atau Julai selepas semua proses berkaitan selesai,” kata beliau.
Menurut beliau, dengan kemasukan pelajar latihan amali Indonesia itu turut melegakan pihak hotel.
“Mereka semua akan diberikan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, elaun dan perlindungan insurans kerana mereka akan berada di negara ini bagi tempoh enam bulan.
“Sekiranya kehadiran pelajar perhotelan dari Medan masih tidak mencukupi, pelajar bidang yang sama dari Lombok juga bersedia untuk dibawa masuk,” katanya. – UTUSAN










