Suami liat bantu isteri berpantang? - Utusan Malaysia

Suami liat bantu isteri berpantang?

Konsep kasih sayang perlu dizahirkan secara konsisten.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WUJUD segelintir para suami yang mengambil kesempatan ketika cuti paterniti. Tambah menyedihkan, bila ada suami beranggapan isteri seperti mengada-ada ketika dalam berpantang, maka suami ‘malas melayan’ dan melepaskan tanggungjawabnya dengan mengabaikan penjagaan isteri dan anak yang baru lahir.

Kaunselor Berdaftar dan Pegawai Psikologi Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, suami yang tanpa rasa bersalah membiarkan isteri berpantang sendiri, mempunyai hati yang keras dan bersifat individualistik.

“Rasa bersalah perlu wujud dalam diri suami jika dengan sewenang-wenangnya membiarkan isteri menguruskan diri dan bayi bersendirian dalam tempoh cuti yang diberikan.

“Bagi yang tiada kesedaran dan hanya mengambil kesempatan, perlu ingat bahawa bayi yang lahir itu adalah amanah bersama. Maka konsep kasih sayang perlu dizahirkan secara konsisten dan keberadaan di sisi isteri ketika berpantang.

“Ia bukan bermaksud selama tempoh 24 jam itu suami perlu berada di sisi dan hanya membantu isteri, tetapi keutamaan masa dan perhatian adalah kepada isteri. Keutamaan bermaksud memberi perhatian penuh serta peruntukan masa yang lebih kepada isteri dan bayi yang dilahirkan berbanding pada hari lain. Ini merupakan satu keistimewaan dan anugerah terindah daripada Allah SWT maka perlu dipertanggungjawabkan sebaiknya,” katanya yang mengulas isu Seri minggu ini.

SEDARKAN SUAMI LEPAS TANGAN
Jelas Siti Fatimah, terdapat pelbagai faktor penyebab hal ini berlaku dan ia lebih memihak kepada faktor peribadi seperti persepsi, nilai dan kepercayaan, sikap serta orientasi sosial yang kurang prihatin dan memandang remeh pada hal-hal tersebut.

“Ini lebih kepada pengalaman didikan sosial serta kemahiran sepanjang hayat yang dipelajari sejak kecil. Kebiasaan inilah yang membezakan lelaki dalam memberikan perhatian dan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak. Ia tidak berkait dengan tahap pendidikan seseorang sama ada tinggi atau rendah. Ia bersifat pengalaman peribadi.

“Suami yang lepas tangan ini masih tetap boleh dipujuk dengan cara baik seperti komunikasi yang baik antara suami dan isteri, pujian serta penghargaan yang diberikan secara berterusan dan kesedaran bersama,” katanya.

SUAMI RINGANKAN BEBAN ISTERI BERPANTANG
Katanya, paling tidak, suami perlu melaksanakan urusan mengemas rumah, menyediakan barangan bayi, membasuh, menjemur pakaian dan sebagainya.

“Cuti paterniti membolehkan suami membantu isteri dalam hal-hal tertentu seperti membeli barangan keperluan asas, menguruskan hal pengangkutan (bagi keperluan tertentu), menemani isteri serta mengeratkan hubungan dengan isteri dan anak yang baru dilahirkan. Ia satu pengalaman indah dan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh suami.

“Bantuan itu amat perlu bagi meringankan beban isteri dan memberi peluang isteri berehat sepenuhnya. Jika tidak pernah membantu, sudah pasti semuanya dilihat mudah dan tiada beban oleh suami. Tambahan pula jika memiliki isteri yang berdikari,” katanya.

Beliau menambah, bagi pasangan yang berkemampuan, mereka mungkin memilih untuk mendapatkan bantuan ibu atau confinement lady maka ia meringankan tanggungjawab khusus semasa berpantang bagi isteri.

7 KEREHATAN DIPERLUKAN ISTERI
Dalam pada itu, katanya, suami perlu sedar dan sensitif dengan keadaan isteri yang memerlukan banyak pertolongan khususnya penjagaan kesihatan, keselamatan dan kebersihan semasa berpantang.

“Suami perlu sedar isteri memerlukan tujuh jenis kerehatan seperti rehat mental, emosi, fizikal, sosial, spiritual, sensori dan kreatif.

“Kerehatan ini penting bagi memastikan isteri kembali cerdas dan cergas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×