Hadkan tempoh tahun pegang jawatan Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Hadkan tempoh tahun pegang jawatan Perdana Menteri

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usul mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu mempunyai tempoh minimum tahun dan bukannya dihadkan berdasarkan penggal semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, selain had penggal, jumlah tahun paling minimum bagi seseorang Perdana Menteri itu juga perlu dibincangkan dan dinyatakan dengan jelas.

“Ini kerana setiap penggal itu tidak semestinya ditetapkan dalam tempoh lima tahun. Dua penggal itu boleh jadi empat tahun atau enam tahun dan tidak semestinya satu penggal itu lima tahun.

“Maka mesti diletakkan selain daripada dua penggal, kena letakkan satu lagi kriteria iaitu paling minimum umpamanya lapan tahun atau 10 tahun bagi pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.

“Ini kerana Presiden Amerika Syarikat umpamanya dua penggal maksimum, dua penggal itu adalah lapan tahun dan bukannya 10 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, selain Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, usul mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dijangka turut dibentang dalam Sidang Khas Parlimen pada 11 April depan.

Buat masa ini, semua pemimpin tertinggi parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijemput menghadiri sesi libat urus bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri sebelum dibawa kepada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan serta Kabinet.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berpendapat, tempoh pengehadan jawatan Perdana Menteri selama dua penggal atau 10 tahun itu sepatutnya sudah memadai untuk melaksanakan semua dasarnya dalam tempoh tersebut.

“Jadi berdasarkan apa yang berlaku di negara maju, tidak ada sebab untuk kita tidak ikut contoh teladan yang telah diperlihatkan oleh negara terbabit.

“Ini baik untuk demokrasi Malaysia dalam kematangan politik dan rakyat, yang penting bagaimana Perdana Menteri berkenaan sedaya upaya memanfaatkan tempoh tersebut” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengehadan itu bukan satu jaminan untuk mengatasi persaingan politik daripada merebut jawatan Perdana Menteri dan salah guna kuasa.

“Kalau memang nak salah guna kuasa, diberi satu tahun pun tetap akan salah guna kuasa. Jadi kita lihat bahawa akhirnya kredibiliti seseorang pemimpin itu harus berprinsipkan kepentingan negara dan bukannya prinsip peribadi, kroni, puak atau parti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×