PUTRAJAYA: Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Amru Al Haz Adnan dipilih sebagai antara imam untuk solat tarawih di Pusat Islam Universiti Oxford, Britain.
Menurut hantaran agensi itu menerusi laman sosial rasminya, beliau yang juga berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan akan bertugas sepanjang Ramadan kali ini.
“Selain memimpin solat sunat itu secara berjemaah, saya turut diminta untuk menjadi tenaga pengajar asas tahfiz al-Quran di sana,” kata beliau sebelum berlepas ke England kelmarin.
Uniknya, Amru Al Haz adalah bekas pensyarah Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan secara kebetulan pernah menuntut di institusi pengajian hafazan berkenaan.
Graduan Diploma Tahfiz Al-Quran wal Qiraat itu kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir sebelum kembali ke tanah air.
Beliau seterusnya menyambung lagi pendidikan tinggi dalam peringkat ijazah sarjana dan selepas itu melengkapkan ijazah kedoktoran falsafah di Universiti Malaya di ibu negara.
Jakim memaklumkan bahawa Amru Al Haz turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Imam Besar di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dihantar untuk bertugas di Negeri Sembilan.
Program penghantaran imam Ramadan dan Aidilfitri ini antara kerjasama Jakim dan Pusat Islam Oxford yang diasaskan pada 1985 dan menerima piagam diraja oleh Ratu Elizabeth II.
Ia hasil inisiatif dan persetujuan bersama felo di pusat berkenaan, Datuk Dr. Afifi al Akiti yang merupakan Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Negeri Perak dan juga berasal dari Perak.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang untuk mengucapkan selamat berlepas.
“Ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan universiti terbaik di dunia kepada pihak Jakim dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh peringkat antarabangsa,” jelas beliau.- UTUSAN











