Kebun Kita tingkat hasil industri tani dan ternak - Utusan Malaysia

Kebun Kita tingkat hasil industri tani dan ternak

R&D bernilai RM4 juta itu akan berfokuskan kepada mengkaji serta memasarkan makanan ternakan ruminan berasaskan zat nutrisi dari beg medium cendawan kukur. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Malaysia melalui Fakulti Sains menjalinkan kerjasama dengan Patriots Food Network (Kebun Kita) dalam menghasilkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) makanan ternakan berkualiti tinggi yang mampan untuk industri ternakan.

R&D bernilai RM4 juta itu akan berfokuskan kepada mengkaji serta memasarkan makanan ternakan ruminan berasaskan zat nutrisi dari beg medium cendawan kukur.

Ketua Penyelidik, Dr. Muhamad Shakirin Mispan berkata, kajian menumpukan kepada potensi memanfaatkan penggunaan sisa-sisa yang bersifat kaya nutrisi daripada industri pertanian cendawan kukur dalam peningkatan pertumbuhan dan kualiti makanan ternakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cendawan kukur (Schizophyllum commune) diketahui mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan penggunaan sisa-sisa cendawan kukur mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan kualiti makanan ternakan dengan ketara.

“Kami berharap penyelidikan ini akan menjadi pemangkin dalam membolehkan kaedah organik yang lebih mampan untuk mengusahakan makanan ternakan untuk makanan ternakan dan meningkatkan nilainya,” katanya.

Kerjasama itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kebun Kita, Mohamad Jamalee Basah baru-baru ini.

Sementara itu, Kebun Kita berperanan menumpukan kepada pengeluaran cendawan kukur secara komersil dengan purata dua hingga empat tan setahun di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi UM di Jelebu.

Kapasiti tersebut bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan spesies cendawan berkenaan selain menerokai peluang pasaran eksport.

Jamalee berkata, cendawan kukur mempunyai potensi yang tinggi melalui permintaan yang semakin meningkat terhadap sayuran berkenaan sejak beberapa tahun lepas.

“Kajian dilaksanakan institusi pendidikan, haruslah digandingkan dengan pengalaman pemain industri supaya kebolehpasaran kajian dapat dilaksanakan, bukan sahaja di peringkat domestik, malah pada peringkat antarabangsa.

“Kebun Kita berharap kerjasama ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama di antara institusi pendidikan dan pemain industri terutamanya dalam industri tani dan ternak,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini