ALOR SETAR: Seorang bekas profesor bidang nuklear teknologi dalam perubatan sebuah universiti tempatan menawarkan diri untuk membantu kerajaan melakukan penyelidikan secara terperinci mengenai herba daun ketum untuk diiktiraf termasuk di peringkat antarabangsa.
Datuk Dr. Proom Promwichit yang juga pakar dalam penyelidikan herba selama 33 tahun berkata, beliau bersedia melakukan penyelidikan tersebut sekiranya diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menjadikan daun ketum sebagai herba terbaik dalam perubatan.
“Dengan penyediaan sejumlah dana bagi tujuan penyelidikan herba daun ketum. Saya boleh menubuhkan pasukan pengkaji melibatkan pelajar-pelajar di peringkat pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) bagi melengkapkan penyelidikan itu,” katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain itu, Proom Promwichit memberitahu, mana-mana pihak yang ingin melakukan tugasan tersebut boleh mendapatkan khidmatnya untuk memberi panduan dan nasihat.
Menurutnya, kerajaan perlu melakukan penyelidikan tersebut kerana herba daun ketum mempunyai nilai perubatan sangat baik.
Malah, beliau mendapati, daun ketum telah lama digunakan oleh masyarakat terdahulu untuk merawat penyakit-penyakit tertentu.
“Beberapa buah negara luar didapati lebih awal melakukan penyelidikan daun ketum dan untuk tujuan perubatan. Malaysia sepatutnya menjadi antara negara paling ke hadapan dalam perubatan herba ketum,” ujarnya.
Dipatenkan
Beliau berkata, hasil kajian tersebut boleh dipatenkan untuk tujuan mengkomersialkan daun ketum di negara ini pada masa depan.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, kerajaan perlu mengkaji semula Akta Racun 1952 dengan mengeluarkan ketum dalam senarai bahan larangan serta membenarkan orang ramai menanam ketum secara terkawal bagi tujuan perubatan dan eksport.
Menurutnya, tindakan tersebut wajar dilakukan memandangkan kerajaan Thailand telah mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya pada tahun lalu dan penanaman serta penggunaan ketum diberi kebenaran di negara itu.
“Kementerian Dalam Negara (KDN) patut turun ke bawah untuk melihat secara positif keperluan untuk mengeluarkan ketum dalam senarai Akta Racun 1957,” katanya.
Selain itu, tambahnya, pihaknya mencadangkan sebuah agensi kerajaan dilantik seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk mengawal selia tanaman ketum.
“Pada masa ini, harga ketum tinggi di pasaran luar negara dan tanaman ketum boleh membantu meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar,” ujarnya.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 23 Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri meminta kerajaan Persekutuan meneliti kertas cadangan yang bakal dikemukakan sebelum membuat keputusan untuk tidak meluluskan eksport ketum ke Thailand.
Cadangan eksport ketum itu turut disokong Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memaklumkan tanaman itu mampu menjana pendapatan pekebun kecil Risda sekiranya kerajaan membenarkannya dieksport.- UTUSAN











