PETALING JAYA: Malaysia mampu menjadi hab industri aeroangkasa dan pusat pembuatan pesawat di Asia Tenggara berdasarkan infrastruktur dimiliki negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries, Prof. Temel Kotil berkata, kemampuan ke arah menjadi hab industri aeroangkasa turut dipermudah apabila negara ini memiliki tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan.
Malah menurut beliau, dalam masa terdekat syarikat terbabit juga berhasrat berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan syarikat pertahanan Malaysia.
“Di Turki kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh produk Turkish Aerospace Industries, sekarang kami ada sekitar 1,000 orang jurutera untuk helikopter sahaja.
“Jadi melihat kepada potensi Malaysia, kami mahu bawa pengalaman dan kongsikan dengan negara ini,” katanya ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini semalam.
Dalam pada itu, Temel berkata, pihaknya telah membuka pejabat urusan di Cyberjaya empat bulan lalu dan sedang melatih sekitar 50 jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global.
Kata beliau, syarikat tersebut dalam masa sama turut berkolaborasi bersama DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftec), serta beberapa agensi lain untuk membangunkan sistem avionik dan pesawat tanpa pemandu (UAV).
“Kerajaan Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk membangunkan program aeroangkasa tempatan daripada selenggaraan,pembaikan dan operasi (MRO), rekabentuk dan kami berharap boleh menjadi pembuat pesawat di sini.
“Itulah polisi kerajaan anda dan kami mahu menyokong polisi tersebut. Kami akan pastikan kami mampu menghasilkan produk di sini bermula daripada pemasangan dan pembuatan,” jelasnya.- UTUSAN











