Terrarium atau seni hias gubahan tumbuhan dalam bekas kaca mula dicipta secara tidak sengaja oleh seorang ahli botani Inggeris, Dr. Nathaniel Bagshaw Ward pada 1842.
Siapa sangka, hasil ciptaan tidak sengaja itu akhirnya terkenal ke banyak negara tidak terkecuali kepada penggemarnya Zulhairun Abdul Karim, 34.
Malah Pensyarah Kanan di Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Johor ini, menjadikan ia sebagai hobi mengisi masa lapangnya sejak dua tahun lalu.
“Saya mudah tertarik dengan sebarang perkara berunsur kesenian. Selain melukis, saya juga gemarkan seni landskap akuarium (aquascape), mengumpul tanaman hiasan eksotik, fotografi dan reka bentuk grafik.
“Saya mengenali hobi terrarium pun secara tidak langsung daripada hobi aquascape yang saya mulakan pada Mei 2019. Namun di sebabkan kos penyediaan akuarium itu boleh mencecah ribuan ringgit, saya beralih ke terrarium. Sebab modalnya jauh lebih rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terrarium merupakan media atau bekas yang diperbuat daripada kaca atau plastik telus mengandungi tanaman sebagai hiasan.
Ia bukan sahaja memfokus kepada jenis tanaman yang digunakan, tetapi turut membabitkan bagaimana pemandangan landskap mikro yang menyerupai alam sebenar itu, digubah di dalam bekas kaca.
Zulhairun tidak mengikuti sebarang kelas-kelas berkenaan terrarium. Sebaliknya hanya belajar melalui pembacaan dan tutorial atas talian.
PENGALAMAN MEMBANTU
Mencipta dan membina terrarium bukan sekadar menggunakan ilmu yang dipelajari sahaja, sebaliknya kata Zulhairun, pengalaman dari kaedah cuba-jaya banyak membantunya membina terrarium dengan lebih baik dari masa ke semasa.
“Saya bangga dengan hasil seni gubahan terrarium saya ini. Kalau ada terrarium baharu yang dibina, pasti saya akan memuat naik gambar-gambar hasil kerja saya itu di media sosial iaitu Facebook KelabTerrarium Amatur Malaysia,” katanya.
Beliau yang menyertai kelab berkenaan sejak November 2020 . Kebelakangan ini, katanya, komuniti dan industri pembuatan terrarium di negara ini mula menampakkan peningkatan yang ketara, lebih-lebih lagi semasa pandemik Covid-19.
SIAP 20 MINIT
Suatu ruang khas menggubah terrarium, tersedia di kediamannya. Ada meja dan rak untuk Zulhairun mempamerkan hasil terrarium yang siap.
Lantaran berkerjaya, dia hanya memperuntukkan satu hingga dua jam pada sebelah malam malam atau hujung minggu bagi menikmati kerja seninya itu.
“Tempoh masa membuat terrarium bergantung kepada saiz dan tahap kesukaran pemandangan yang ingin digubah. Gubahan asas mungkin boleh disiapkan dalam masa 20 minit. Namun untuk gubahan yang rumit, ia boleh memakan masa hingga ke beberapa hari untuk disiapkan,” katanya.
Mengenai bahan dan perkakasan diperlukan dalam penghasilan terrarium, katanya bahan terpakai seperti botol kaca, tanah dan tanaman-tanaman seperti lumut yang boleh di dapati dari kawasan sekitar rumah pun sudah boleh menjadi bahan asas dalam pembinaan landskap dalam balang kaca itu.
Namun, untuk hasilkan terrarium yang lebih baik, bahan dan perkakasan boleh dibeli di nurseri.
“Saya menyimpan hasil seni ini sekadar koleksi peribadi. Namun sejak tahun lepas saya mula menerima tempahan secara kecil-kecilan melalui ruangan iklan di Facebook. Ada yang menempah untuk diri sendiri sebagai hiasan di rumah dan pejabat.
“Ada tempahan daripada nurseri, menempah sebagai hadiah ulang tahun dan hari jadi ahli keluarga dan pasangan. Yang paling unik, ada yang menempah untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan,” katanya.
Harga terrarium berbeza mengikut saiz, jenis dan bentuk bekas, nilai tanaman dan ketelitian landskap namun ia boleh dibeli pada harga serendah RM30 hingga ke ribuan ringgit.
Tenang bila melihat hiasan hijau
“Saya galakkan sesiapa yang mahu mencuba hobi ini untuk memberi ruang dan masa kepada diri sendiri untuk berkarya dan meneroka sudut kreativiti. Jangan gopoh sebab hobi ini seharusnya memberikan ketenangan jiwa dan minda,” kata Zulhairun memberikan nasihat.
Memperlihatkan bekas kaca yang agak kecil berbanding hidupan lain yang sarat di dalamnya, tidakkah memberikan kerumitan buat Zulhairun?
“Tidak ada kesukaran ketika membina terrarium. Sebenarnya ia tidak serumit yang di sangka. Lainlah kalau kita cuba menghasilkan panorama mikro yang teliti di dalam bekas kecil. Namun percayalah, apabila berjaya merealisasikan sesebuah landskap seperti yang diimaginasikan ia memberikan kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Saya gembira apabila hasil seni saya turut dinikmati dan dihargai oleh ahli keluarga dan sahabat handai setiap kali mereka datang ke rumah saya. Saya berharap suatu hari nanti saya boleh berkongsi ilmu dengan anak-anak bila meraka dah besar nanti,” katanya.










