Wahyu kepada Nabi Muhammad SAW - Utusan Malaysia

Wahyu kepada Nabi Muhammad SAW

PELABURAN syarikat Malaysia dalam sektor hartanah di Arab Saudi boleh membantu mengatasi kenaikan kos penginapan dalam kalangan jemaah Malaysia, selain bakal memberi pulangan lumayan pada masa hadapan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada ayat kedua dalam Surah Muhammad, yang bermaksud: Dan sebaliknya orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang ia adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Allah mengampun dosa mereka dan menjayakan keadaan mereka di dunia dan akhirat.

Wahyu hanya berlaku kepada nabi dan rasul sahaja. Tidak berlaku kepada manusia biasa. Makna wahyu adalah Allah menyampaikan sesuatu ilmu secara senyap dan cepat sama ada dengan memberi kitab, isyarat dan risalah. Ia berlaku dalam beberapa bentuk.

Adakalanya ia dibawa oleh utusan Allah iaitu malaikat Jibril kepada rasul, mendengar kalam yang tersusun cantik dan tidak melihat kepada penyampainya seperti percakapan Nabi Musa dengan Allah SWT atau melalui mimpi seperti wahyu kepada Nabi Ibrahim dalam isu korban.

Kandungan wahyu yang diterima oleh para rasul adalah berkaitan manhaj kehidupan daripada Allah SWT.

Realitinya, isu takrifan wahyu ini banyak dibincang oleh para ulama dan cerdik pandai barat sehingga ada yang menakrifkan dengan cara yang salah dengan menyatakan wahyu ini hanya saki baki khurafat orang terdahulu dan sebagainya.

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah wahyu daripada Allah SWT. Ia adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Jibril AS dalam bahasa Arab, membacanya adalah satu ibadat, ditulis dalam mushaf bermula dengan surah al-Fatihah berakhir dengan surah al-Nas dan dinaqalkan kepada kita secara mutawatir.

Lima ayat pertama surah al-Alaq adalah wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadan di Gua Hira’ yang terletak di atas Jabal Nur. Ketinggian Gua Hira’ yang berada di puncak Jabal Nur ini ialah 634 meter dan jaraknya dengan Masjidilharam sekitar empat kilometer.

Pengalaman penulis semasa mendaki Jabal Nur pada awal 90-an, melihat tempat nabi beribadat dan menerima wahyu di Gua Hira’ berasa kagum dan takjub kerana dari tempat beribadat Nabi SAW tersebut dapat melihat dan menghala tepat ke Kaabah. Subhanallah.

Wahyu Pertama

Sejurus menerima wahyu, Rasulullah SAW pulang ke rumah dengan perasaan takut kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.  Isterinya Khadijah r.ha menyambut baginda dengan tenang, menyelimuti Nabi SAW sehingga perasaan takutnya hilang lalu Khadijah r.ha bertanya apakah yang belaku. Selepas Nabi menceritakan, Khadijah r.ha dengan yakin mengucapkan ucapan yang amat mendamaikan.

“Terimalah khabar gembira. Demi Allah, Allah sekali-kali tidak akan menghinakan kamu wahai Muhamad kerana kamu selalu menghubungkan tali persaudaraan, bercakap benar, sabar menerima kesusahan dengan baik, menolong orang yang mengalami kesusahan, memuliakan tetamu dan kamu selalu membantu orang menghadapi musibah”.

Bukan sekadar ucapan sahaja, bahkan Khadijah merungkai perkara yang dihadapi Nabi SAW ini dengan bertanya kepada sepupunya Waraqah Ibn Naufal yang arif tentang kitab Injil.

Waraqah mendengar dengan teliti apa yang berlaku lalu mengucap “itulah Namus (Jibril AS) yang turun kepada Nabi Musa a.s. Alangkah baiknya jika aku masih hidup pada saat kamu wahai Muhammad dikeluarkan oleh kaum mu.” Nabi SAW bertanya adakah aku dikeluarkan daripada Mekah? Waraqah berkata, “tidak ada seorang pun Nabi yang menerima wahyu kecuali ia akan dimusuhi dan jika aku masih hidup pada saat itu aku akan menolong kamu dengan bersungguh-sungguh”.

Wahyu kepada Nabi SAW berlaku selama 23 tahun. Sejak usia 40 tahun hingga wafat pada usia 63 tahun. Nabi SAW menyampaikan wahyu kepada penduduk Mekah.
Pernah berlaku wahyu terhenti beberapa hari. Kaum Quraisy Mekah mula mengatakan bahawa Allah telah murka kepada Muhammad dan membencinya. Lalu Allah SWT menurunkan surah al-Duha.

Dalam ayat ketiga terdapat penegasan bahawa Allah tidak meninggalkan atau membenci Nabi SAW. Ayat tersebut bermaksud: Dan sesungguhnya Tuhanmu wahai Muhammad tidak meninggalkanmu dan ia tidak benci kepada mu (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Surah al-Masad

Surah al-Masad diturunkan di Mekah menceritakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil akan masuk neraka kerana tidak menerima Islam dan perseteruaan yang kuat dengan Nabi SAW.
Ketika Ummu Jamil iaitu isteri Abu Lahab mendengar surah ini yang diturunkan untuk suami dan dirinya sendiri lalu beliau mencari Nabi SAW yang ketika itu sedang duduk di masjid al-Haram bersama dengan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq.

Ummu Jamil menggengam batu. Apabila hampir dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba matanya tidak nampak Nabi SAW kerana Allah SWT menghalang pandanganya. Beliau hanya melihat Abu Bakr al-Siddiq dan bertanya kepada Abu Bakr: sampai kepadaku sahabat kamu mengherdik aku, demi Allah jika aku mendapatinya nescaya aku pukulnya dengan batu ini ke mulutnya.

Kemudian Ummu Jamil berkata: Wahai penghina kami ingkar kepada mu, kami tidak layan arahan kamu dan kami benci agama kamu lalu beredar. Abu Bakar r.a berkata: Wahai Rasulullah SAW, tidakkah kamu melihatnya dan dia melihat kamu? Sabda Nabi SAW: Dia tidak melihatku kerana sesungguhnya Allah telah mengalih pandangannya kepadaku.

Kaum Quraisy menghina dan mencerca Nabi SAW dengan berkata: Muzammam bermaksud orang yang dihina. Mereka menukar yang bermaksud yang terpuji. Nabi SAW bersabda: tidakkah kamu berasa hairan bagaimana Allah SWT mengalih daripadaku perbuatan Quraisy yang menghinaku dengan muzammam walhal sebenarnya aku adalah Muhammad.

Kejaiban al-Quran tidak pernah habis. Para ulama tidak pernah berasa ‘kenyang’ terhadap ilmu al-Quran. Manfaatkanlah masa yang ada dengan bersahabat dengan al-Quran.

  • Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×