Pembukaan sempadan dijangka tingkat pemerdagangan rokok haram

Usaha bersepadu perlu atasi peningkatan rokok haram

PANKAJ KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan semula sempadan pada 1 April ini dijangka akan meningkatkan pemerdagangan haram terutamanya rokok.

Peningkatan tersebut ekoran permintaan kekal teguh disebabkan tekanan inflasi dan kadar kelaziman merokok yang tinggi dalam kalangan B40.

Menurut kajian Datametrics Research and Information Sdn. Bhd. (DARE), penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, telah memainkan peranan dalam menyekat keupayaan sindiket jenayah untuk menyeludup barangan terlarang seperti rokok dan alkohol ke Malaysia.

Selain itu, langkah kerajaan untuk membendung masalah rokok haram yang kritikal melalui beberapa siri inisiatif dalam Bajet 2021, termasuk larangan pemindahan kapal, cukai rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai dan zon bebas serta semakan dan pembekuan lesen import, telah memberikan hasil yang memberangsangkan.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, ia adalah gabungan pelbagai faktor secara kolektif yang telah menurunkan paras rokok haram di pasaran buat pertama kalinya dalam tujuh tahun.

“Malangnya, ia mungkin terbantut kerana kami menjangkakan penyeludup rokok haram akan mengambil peluang ketika anggota penguatkuasa melonggarkan kawalan apabila perjalanan antarabangsa disambung semula dan berkuat kuasa sepenuhnya.

“Kerajaan tidak boleh berputus asa dengan tekanan itu tetapi sebaliknya perlu meningkatkan usaha membanteras perdagangan rokok haram.

“Untuk mencapai matlamat itu, lebih banyak usaha (perlu) dilakukan antaranya usaha penambahbaikan dan mengkaji dasar yang boleh menghalang perdagangan haram,” katanya dalam kenyataan.

Pankaj berkata, rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 2005 adalah konsep yang ideal, namun hakikatnya, idea murni itu tidak akan mencapai matlamatnya jika akses kepada rokok haram menjadi lebih mudah.

“Pengharaman generasi terhadap penjualan rokok dan vape juga merupakan ancaman bagi ekonomi Malaysia.

“Kami bimbang ia mungkin tidak hanya berhenti pada rokok dan akan ada pihak yang membuat langkah untuk mengharamkan sektor lain seperti alkohol dan bir, permainan komputer dan platform hiburan penstriman dalam talian.

“Kecenderungan negara memilih ke arah ‘nanny-state’ akan memberi implikasi teruk kepada keupayaan Malaysia untuk menarik pelabur dan merangsang perbelanjaan domestik.

“Kami percaya dengan membasmi perdagangan rokok haram sepenuhnya melalui penyelarasan antara kementerian, meningkatkan penguatkuasaan kawasan pedalaman dan pantai, mengekalkan inisiatif yang ditetapkan dalam Bajet 2021 serta memanjangkan moratorium eksais dapat mengatasi peningkatan dalam perdagangan haram dan mengurangkan dominasi pasaran rokok haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×