Saya tarik kabel dan pasang trek... - Ogy Ahmad Daud - Utusan Malaysia

Saya tarik kabel dan pasang trek… – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebutkan satu nama, seorang pelakon luar biasa. Tentu sekali saya akan petik figura ini.

Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy adalah seorang legenda. Dia permata seni yang masih berkilauan dan terlalu berharga.

Kita bertuah, kerana memiliki seorang seniwati seperti ini. Kita juga bertuah, kerana sehingga ke hari ini, kita masih berpeluang melihat sendiri karya dan perjuangannya.

Pada saya, Ogy Ahmad Daud cuma satu. Datanglah ratusan pelakon sekalipun. Tidak mungkin menyamai atau menandingi seniwati ini. Dia cukup tersendiri.

Memori awal saya tentang aktres ini adalah menerusi filem Ali Setan. Filem itu juga menjadi filem terawal yang saya tonton sewaktu usia kanak-kanak lagi. Pada saya, dia selamanya menjadi Asmidar untuk saya dan kita semua.

Ogy adalah pelakon prolifik dan cukup berpengalaman. Lebih daripada 30 filem telah dia dilakonkan. Antaranya Hati Batu pada tahun 1973, Permintaan terakhir (1975), Suara Kekasih (1986), Azura (1984), Ali Setan (1985), Magika (2010), Langit Cinta (2016) dan banyak lagi.

Penglibatannya dalam drama tidak kurang hebatnya. Berbelas drama dan telefilem. Antara yang boleh saya tuliskan di sini seperti Lontong yang ditayangkan pada 1995, Pengantin Popular (1994), Tanah Kubur (2012), Cinta Tsunami (2013), Rahsia Hati Perempuan (2018) dan lain-lain.

Tidak dilupakan, dia juga berbakat besar dalam bidang pengacaraan. Buktinya apabila Ogy diberi penghormatan mengacarakan rancangan Melodi beberapa tahun berturut-turut selain menjadi pengacara Anugerah Juara Lagu ke 11 sekitar tahun 1996.

Pencapaian seniwati ini terlalu besar dan membanggakan. Namun perjalanan seninya tidak mudah.

Saya bertemu Ogy dalam majlis pratonton filem pendek Asrar di ibu kota baru-baru ini. Dia sempat berkongsi sedikit tentang pengalaman dan proses yang dilaluinya sebelum mencipta nama.

Kata aktres ini, menjadi anak kepada seniman disegani, Allahyarham Datuk Ahmad Daud Mohamad Hashim dan seniwati Allahyarham Saadiah bukan tiket untuk masuk ke dalam bidang seni dengan mudah.

“Saya melalui proses itu ketika menuntut dengan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin. Disuruh tarik kabel dan pasang trek. Saya mahu belajar.

“Sekarang, semua itu tidak ada. Sebab itu saya kecewa.

“Saya berani bersuara kerana saya belajar daripada guru yang bukan calang-calang orangnya. Sekarang, semua guru saya sudah tidak ada. Tetapi, hasil kerja saya telah membuktikan. Saya lalui proses yang betul,” katanya.

HASILKAN FILEM PENDEK

Selepas lima dekad bergelar anak seni, aktres disegani ini akhirnya maju setapak lagi dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Asrar.

Filem istimewa ini diadaptasi daripada cerpen Terima Kasih, Tuhanku karya sasterawan veteran, Baharuddin Kahar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asrar merupakan projek susulan bengkel lakonan Adventures In Acting yang dianjurkan Ogy sekitar Disember tahun lalu.

Seniwati ini bukan sahaja menjadi penerbit, malah menggalas tanggungjawab selaku pengarah bagi filem tersebut.

Kata Ogy, terdapat banyak sebab mengapa dia memilih cerpen tersebut untuk diadaptasi menjadi sebuah filem pendek.

“Saya tahu mutu sesebuah cerpen berbeza dengan penulisan copy paste. Saya inginkan sesuatu yang boleh menjentik jiwa dan minda.

“Bila ia (cerpen) diberikan kepada saya, saya merasai itu,” katanya.

Asrar dihasilkan dengan kos pembikinan mencecah RM55,000. Kata Ogy lagi, dia terlibat secara keseluruhan dalam penghasilan filem pendek tersebut.

“Apa yang membanggakan, kesemua pelakon Asrar, Ameer Rahman, Zya Nazir dan Auf Razak merupakan bakat baharu yang dicungkil menerusi bengkel yang saya anjurkan.

“Saya sangat teliti, tetapi tidak mengharapkan kesempurnaan. Bagi saya, tiada yang sempurna. Saya suka ada kecacatan. Itu mengindahkan. Tetapi, saya tidak akan berkompromi dengan mutu (kerja),” ujarnya.

Selain boleh ditonton menerusi pembelian pautan khas di laman web Ogy Ventures & Network, Ogy juga dalam perancangan untuk menayangkan filem berkenaan ke luar negara.

INFLUENCER HANGAT HANGAT TAHI AYAM

Disoal tentang penglibatan influencer dalam bidang lakonan, Ogy tidak menolak hakikat bahawa ramai antara mereka yang tidak bersungguh-sungguh.

Kata Ogy, untuk menjadi pelakon yang bagus memerlukan kesungguhan dan komitmen yang tinggi. Malangnya, dia tidak melihat perkara itu ada pada golongan berkenaan.

“Saya tidak mahu bercakap tentang influencer. Dia orang ini hangat-hangat tahi ayam. Ramai yang pada awal masuk bengkel saya. Masuk sehari, terus lari. Mereka tak tahan.

“Sejak awal saya sudah maklumkan, saya bukan ajar kamu untuk terus menjadi aktor. Tiada orang boleh bergelar aktor dalam masa tujuh hari.

“Kamu harus faham tanggungjawab sebagai pelakon. Apa itu seni lakon? Kenapa ia mahal? Kalau kamu tidak ada fahaman sebegini, kamu tidak akan ke mana dalam industri ini,” tegasnya.

Kata Ogy lagi, dia mahu terus berjasa dan menabur bakti. Jelasnya, sebagai anak seni, dia tidak mahu membiarkan industri dilacurkan oleh pihak-pihak yang tidak memahami dan menghargai seni.

“Saya nak betulkan urat-urat saraf dalam industri yang sudah caca merba ini. Saya dah nak masuk 60 tahun, sepatutnya dah berehat. Tetapi saya katakan tidak. Saya kena teruskan.

“Saya mahu mereka yang lahir daripada didikan saya itu benar-benar memahami tanggungjawab, skop dan mutu kerja mereka.

“Satu hari nanti, saya tidak lagi akan berada dalam industri. Semua orang, datang dan pergi. Tetapi saya mungkin akan terus memantau. Jadi, saya mahu melahirkan pelapis yang akan menjadi kesinambungan saya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×