KUANTAN: Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap usahawan yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad berkata, ini kerana tidak semua perniagaan antarabangsa boleh dilakukan secara dalam talian terutamanya yang melibatkan bahan pengeluaran atau sumber dari pelbagai negara lain.
“Kumpulan ini juga terkesan dengan wujudnya pelbagai sekatan pergerakan antara negara yang menjejaskan kelancaran urusan perniagaan mereka.
“Usaha yang tepat akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk melabur dan menjalankan usahasama dengan peniaga tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, usaha menangani wabak Covid-19 dan meminimumkan impak kepada ekonomi melibatkan perbelanjaan besar dan sukar untuk kerajaan melaksanakan belanjawan yang dapat membantu semua pihak secara menyeluruh.
Sehubungan itu, jelasnya, Bajet 2021 secara bersasar dirasakan relevan terutamanya bagi golongan yang mudah terkesan.
“Bajet bersasar ini penting bagi memastikan kitaran ekonomi negara akan dapat berfungsi melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai lapisan.
“Kita dapat lihat bagaimana pelbagai bantuan sokongan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat membantu menggerakkan ekonomi negara.
“Selain itu diharapkan Belanjawan 2021 bersasar yang berkaitan cukai dan subsidi ini juga akan membantu menggerakkan ekonomi serta meningkatkan pelaburan swasta dalam dan luar negara yang akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN










