SEPANG: Hasrat dua beradik mahu menyambut Ramadan bersama adik perempuan mereka di Dusseldorf, Jerman bertukar menjadi mimpi ngeri.
Kegembiraan mereka yang ditemani ibu bapa dari Kuala Terengganu, Terengganu setelah menempuh perjalanan jauh itu sebaliknya berubah apabila diusir keluar dari negara tersebut.
Ia gara-gara vaksin Coronavac keluaran firma Sinovac Biotech dari China tidak diterima pihak berkuasa Jerman walaupun telah lengkap menerima dos penggalak Comirnaty.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam, mereka bersyukur dapat pulang semula ke tanah air.
Salah seorang yang mahu dikenali sebagai Fariq, 30, berkata, walaupun penat lebih 15 jam menaiki dua pesawat berbeza, mereka berasa ralat apabila isu vaksin diterima dipertikaikan.
“Alhamdulillah selamat pun tiba, tetapi kami kesal dihalau pulang hanya kerana hal vaksinasi, walhal dos penggalak ialah Comirnaty keluaran syarikat Pfizer,” jelasnya dalam nada kecewa.
Beliau yang bekerja sendiri berkata, mereka sekeluarga tiba di Jerman Sabtu lalu untuk menziarahi adik perempuan bongsu yang menuntut peringkat sarjana di sebuah universiti di sana.
Lawatan ini diatur setelah bapa mereka, Yusuf Ghani yang bersara pada 15 Februari lalu dan adiknya itu pula sudah dua tahun tidak bertemu keluarga ekoran isu wabak Covid-19.
Meskipun mematuhi segala protokol saringan ketat ditetapkan agensi pelancongan dan syarikat penerbangan Turkish Airlines, vaksin Sinovac pula dijadikan alasan apabila ditolak Jerman.
Dos primer tersebut ujarnya, tidak diperakui Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan lebih pelik, mereka bukanlah rakyat Malaysia pertama diusir dari negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Kes dialami dua beradik itu meraih perhatian Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP) demi mengelak lebih banyak individu menjadi mangsa.
Bahkan, Timbalan Presidennya, Wan Shairi Wan Ahmad menyelar Kementerian Kesihatan kerana membiarkan sahaja warga Malaysia pergi ke negara EU walaupun disuntik dos Sinovac.
Mengulas lanjut, Fariq berharap kisah pengalaman pahit mereka dilayan bak pesalah jenayah oleh pihak imigresen Jerman, akan menjadi pengajaran kepada penerima vaksin berkenaan.
Pasport mereka turut dirampas dan dua individu itu tidak dapat menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Berlin untuk bantuan konsular atas alasan kononnya ia ditutup pada hari minggu. -UTUSAN











