PETALING JAYA: Selepas empat siri skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk yang terbaharu diumumkan kelmarin, Malaysia semakin menghampiri krisis sosial menjelang status negara tua tahun 2030.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, semakin ramai akan mempunyai simpanan terlalu kecil sehingga mendedahkan mereka kepada krisis sosial jika simpanan dikeluarkan berterusan.
Malah, menurut beliau, sekiranya RM10,000 dikeluarkan sekarang, pencarum dijangka ‘kehilangan’ RM48,500 mengikut purata kiraan dividen semasa dalam tempoh 30 tahun akan datang.
“Bayangkan pula jika kita keluarkan duit simpanan persaraan untuk skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra tersebut dan selepas itu keluarkan pula RM10,000 menerusi skim bermula April ini dan pada masa itu usia masih muda.
“Adakah kita ada duit secukupnya apabila kita bersara nanti? Berdasarkan kajian RM2,000 sebulan diperlukan selepas bersara atau RM24,000 setahun. Jangka hayat rakyat Malaysia pula adalah kira-kira 65 tahun. Jadi apa akan jadi jika kita tiada simpanan?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 selepas meneliti dapatan kajian dan dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19.
Keputusan sukar
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, ia satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak dan simpanan masa depan rakyat.
Dalam pada itu, Profesor kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Datuk Dr. Madeline Berma menjangkakan berlaku penyusutan dividen KWSP pada tahun ini akibat pengeluaran tersebut.
“Dividen KWSP tahun lalu berkurangan daripada 6.7 peratus kepada 6.1 peratus akibat pengeluaran dan perkara ini bakal terjadi lagi.
“Wang (pengeluaran) ini semestinya akan meninggalkan kesan terhadap status kewangan KWSP dan menurunkan nilai dividen,” jelasnya.
Bagi Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pencarum yang membuat pengeluaran tersebut perlu menyediakan pelan khas termasuk tabung sebagai persediaan kecemasan.
“Perlu diingat nilai wang pada hari ini tidak sama dengan 10 atau 20 tahun akan datang dan ia jadi semakin kecil.Keperluan untuk menampung kehidupan selepas bersara pasti akan bertambah,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan melaporkan menerusi tiga pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sudah dimanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.
Pengeluaran itu membabitkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion.
Susulan itu, dilaporkan setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun selepas majoriti ahli mengeluarkan simpanan menerusi ketiga-tiga skim tersebut. – UTUSAN











