PETALING JAYA: ABS Greentech Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lentiz Education Group, Priva Horticulture B.V., Powerplants Australia Pty Ltd. dan Rijk Zwaan.
Memorandum itu untuk mewujudkan satu kolaborasi antara rakan strategik dalam pembinaan satu model farm low land (tanah rendah) berserta Pusat Latihan (Incubator-Center) yang pertama di Malaysia yang dicadangkan di Projek Pertanian Moden Kluang, Johor.
Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), model farm itu akan digunakan untuk menjalankan aktiviti pertanian moden dan latihan yang berasaskan penggunaan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).
“IPM juga merupakan salah satu kriteria dalam pensijilan amalan pertanian baik (myGAP) untuk menjamin kualiti dan keselamatan produk pertanian yang dihasilkan. Kepakaran lima syarikat ini dapat membantu meningkatkan kualiti hasil pertanian, mengurangkan penggunaan racun sintetik yang berlebihan dan membuka lebih banyak peluang pasaran dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan sempena MoU itu.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam ucapannya berkata, MoU itu merupakan antara usaha berterusan MAFI dalam penambahbaikan program pengurusan perosak tanaman yang merupakan satu daripada fokus utamanya dalam memastikan pengeluaran produk tanaman negara memenuhi visi keselamatan makanan dan sekuriti makanan seperti yang dihasratkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
“Melalui kerjasama ini, usahawan khususnya petani muda akan diberi latihan jangka pendek dalam pengurusan tanaman terutamanya melibatkan penggunaan teknologi terkini bagi aktiviti agronomi dan program pengurusan perosak yang lebih mesra alam, menjimatkan dan selamat untuk biodiversiti kita,” kata beliau.
Berdasarkan kepada maklumat terkini daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), perosak dan penyakit tanaman telah mengakibatkan kerugian ketara hasil tanaman makanan sebanyak 20 hingga 40 peratus dan turut mencatatkan kerugian dalam perdagangan produk pertanian dunia melebihi AS$220 bilion (hampir RM1 trilion) setahun.
Di Malaysia sendiri jelas MAFI, pelbagai masalah serangan perosak dan penyakit invasif telah direkodkan saban tahun. Sejak lima tahun kebelakangan ini, tanaman di Malaysia telah diserang oleh pelbagai jenis perosak invasif antaranya kumbang merah palma (red palm weevil – RPW) pada tanaman kelapa, bakteria hawar bulir (Bacterial panicle blight – BPB) pada tanaman padi dan terkini ulat ratus fall armyworm (FAW) pada tanaman jagung.
“Ketiga-tiga perosak ini telah menyebabkan kerugian hampir RM10 bilion kepada bukan sahaja hasil tanaman dan perdagangan, malah mengakibatkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM5 juta untuk aktiviti kawalan dan pemusnahan haiwan perosak di seluruh negara dalam tempoh lima tahun tersebut,” jelasnya.
Pada masa yang sama, tambah MAFI, perosak tanaman sedia ada seperti thrips, lalat buah, scale insects, mites dan leafminer telah memberi kesan ekonomik kepada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan negara terutamanya kepada produk yang berpotensi tinggi untuk dieksport.
“MAFI sentiasa memberikan sepenuh sokongan bagi inisiatif seumpama ini yang menjadi bukti komitmen pihak industri dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam melaksanakan pengurusan perosak secara mampan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak,” katanya. – UTUSAN










