PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura bagi menjalankan siasatan terhadap akaun Datuk Dr. Tawfiq Ayman, suami kepada bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Hussain berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran pihak berkuasa Singapura untuk tujuan tersebut dalam masa terdekat.
“Kita telah mendapat kebenaran pihak berkuasa Singapura untuk menjalankan siasatan tersebut. Ini bagi mengumpul bukti berkaitan termasuk dokumen dan keterangan saksi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ahad lalu, portal berita tempatan melaporkan polis Singapura telah menangani segera segala permintaan Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara itu.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dilaporkan berkata, terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan polis Malaysia menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Februari lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan antara pertengahan hingga hujung Mac.
Bukit Aman juga sebelum itu memohon untuk menghantar pasukannya ke Singapura pada 2 Disember lalu.
“CAD menjawab permintaan itu empat hari kemudian menyatakan persetujuannya kepada perjumpaan itu dan mencadangkan beberapa tarikh untuk lawatan berkenaan, namun perkara itu tidak dimuktamadkan,” lapor portal tersebut.
Pada 3 Mac lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, kertas siasatan yang lengkap sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara, sejak tahun lalu.
Jelasnya, pihak polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara beberapa kali, namun dipulangkan semula untuk dikemaskini termasuk mendapatkan dokumen di Singapura. – UTUSAN










