MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO Melaka mahu formula yang digunakan semasa dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini dapat diteruskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, formula tersebut telah terbukti berkesan apabila Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Malah katanya, BN juga mendapat majoriti yang lebih besar berbanding PRU14.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu parti kekal fokus dan bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU15 dalam masa terdekat.
“Pemuda UMNO Melaka ingin mengucapkan terima kasih atas keberanian kepimpinan UMNO Melaka sendiri kerana meletakkan 83 peratus calon baharu pada PRN lepas. Seramai empat orang calon terdiri daripada Pemuda.
“Justeru, kami minta apa yang telah diusahakan oleh kepimpinan dalam PRN perlu diteruskan. Ini kerana ia telah terbukti berkesan” katanya yang bakal mewakili Pemuda UMNO Melaka berbahas di Perhimpunan Agung UMNO 2021. – UTUSAN










