ARAU: Tindakan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali keluar Pas sangat mendukacitakan malah disifatkan mengambil langkah terburu-buru.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas akan berusaha mendapatkan penjelasan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu tentang tindakannya.
Beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan Mohd. Khairuddin yang mempunyai hak untuk memilih kekal bersama Pas atau sebaliknya.
Menurut Hashim, ahli Pas perlu menerima keputusan tersebut dan kemungkinan suatu hari nanti Mohd. Khairuddin akan pulang ke pangkal jalan.
“Apabila dia (Mohd. Khairuddin) keluar Pas, kita menghormati keputusannya meskipun tindakan keluar daripada jemaah satu perkara yang sangat mendukacitakan.
“Semasa mesyuarat Majlis Syura sebelum ini, dia tidak pernah memberi sebarang isyarat keluar Pas tetapi hanya mengumumkan perletakan jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura. Memang mengejutkan keluar Pas, kerana kita bukan pecat dia daripada Pas,” katanya.
Kelmarin, Mohd. Khairuddin mengumumkan keluar daripada parti Pas dan akan menyerahkan semua elaun bulanannya sebagai ahli parlimen kepada parti itu.
Bagaimanapun, Mohd. Khairuddin enggan mendedahkan puncanya berbuat demikian dan dengan keputusan tersebut, beliau akan memainkan peranan sebagai ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, Mohd. Khairuddin mendakwa, budaya politik matang sejahtera yang menjadi dasar Pas selama ini sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, keputusan Mohd. Khairuddin keluar Pas diakui memberi kesan kerana beliau juga merupakan pemimpin yang berpengaruh di dalam parti itu.
Katanya, namun tindakan pemimpin keluar masuk Pas adalah perkara biasa dan parti itu tidak akan pernah sesekali lari daripada perjuangan menegakkan Islam ini.
“Kita juga akan mendapatkan penjelasan Khairuddin berhubung permohonannya untuk keluar daripada parti itu memandangkan ia adalah keputusan yang agak mengejutkan,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan Mohd. Khairuddin itu berkemungkinan kecewa dengan pendirian Pas khususnya dalam soal Muafakat Nasional (MN), Hashim berkata, soal MN dilihat bukan sebagai puncanya.
“Namun memang diakui Khairuddin sememangnya pendukung kuat MN,” katanya.- UTUSAN











