TAMPIL dengan seluar berona khakis dan berkemeja T putih. Dia juga selesa mengenakan topi bucket di kepala. Mungkinlah penampilannya ringkas saat muncul di lokasi fotografi tempoh hari. Tetapi dapat dirasakan buak aura seorang lelaki kaya di sebalik imej yang dipotretkan.
Ya. Sememangnya dia seorang lelaki yang kaya. Kalau pun bukan dilihat daripada berapa tebal wang yang ada di poketnya, Amerul Affendi ini kayanya dari perspektif lain.
Bukti. Mula sahaja mulutnya membuka cerita, berkongsi kisah, Amerul tidak bercakap omongan kosong. Apa lagi jika mengajaknya berbual mengenai perihal ketempangan yang wujud dalam industri. Dia ada buah fikiran bernas.
Mungkin kerana itu jugalah, dia tidak begitu setuju jika lakonan dianggap sebagai satu kerjaya. Dia lebih suka menggelarnya sebagai hobi. Itulah yang diulang-ulangnya sejak sekian lama. Bukan dituju pada orang lain, tetapi itu prinsipnya sendiri.
“Ya mungkinlah orang lama tidak akan setuju dengan pendirian ini. Orang kata,terjun dalam bidang ini, jika buat ia sekadar hobi, tidak serius, maka lebih baik jangan. Bagi saya pula, kerana hobilah kita akan berikan yang terbaik.
“Sebab, kita buat benda yang kita minat. Bila nak jadikan kerjaya, jika industri pun tak sokong ia sebagai satu kerjaya, untuk apa? Jadi saya tukar perspektif itu supaya tak rasa sakit dengan industri yang sakit ini.
“Saya akan berlakon hanya jika saya mahu, jika kena pada masanya. Kalau banyak benda yang entah apa-apa, dengan sistem kerja pun tiada, lebih baik saya berundur supaya tak sakit di dalam itu,”katanya.
Mempersoalkan kembali, Amerul hairan mengapa jika orang lama dalam industri sedar ada yang tidak kena, tetapi tidak berbuat sesuatu untuk membaik pulih segala macam isu yang berbangkit melibatkan anak seni.
“Tak akanlah tak nampak? Dari tahun 80-an sampai sekarang, tengoklah. Apa saja perubahan yang jadi? Tak tahulah jika mereka hanya nampak,’sekian umur aku akan dapat bantuan nanti’.
“Pernah tak persoalkan, bagaimana masa depan generasi atau pelapis anak seni akan datang? Tak baik. Nanti jadi macam apa yang mak ayah kita dulu cakap, ‘bidang seni ini tiada masa depan’. Memang ada yang berjaya, tetapi kiralah dengan jari.
“Ini kerana kita ini hanya bermain dalam pasaran dalam negara sahaja.Kenapa tak keluar sekurangnya ke rantau Asia? Filipina dan Indonesia, mereka dah pergi ke pasaran dunia. Korea pun sama,”katanya.
DEMAND?
Sementelah sudah menjelaskan bahawa hobinya ini mahal, pelakon berusia 38 tahun ini mengaku ada ketika dia memang mengamalkan konsep memilih. Dalam erti kata lain, demand itu baginya tidak salah andai ia mengikut kesesuaian sesebuah projek.
“Saya tahu, sebelum ini pun ada yang menganggap saya seorang pelakon yang demand. Begini.Bila tengok sesebuah projek itu, kita mesti nak kena tahu berapa bajet mereka ada, bagaimana produksi nak hasilkan naskah itu. Pendek kata lihat pelbagai aspek untuk saya nilai dan kemudian akan cuba tawar-menawar.
“Tak adalah saya terus minta macam-macam. Kita kena ambil tahu semua perincian termasuk bagaimana pengurusan produksi itu supaya apabila sampai ke set penggambaran, kita tak rasa macam tertipu.
“Nama pun hobi dan saya mestilah nak buat betul-betul. Tak naklah rasa tak berbaloi. Demand itu perlu supaya kita tahu mana nak letak harga kita. Kalau kita tahu produksi itu memang tak ada bajet besar, tapi karya yang nak diangkat memang bermutu, saya pun rela kurangkan harga bayaran demi nak pastikan karya itu dibuat dan menjadi,”katanya.
Kata Amerul lagi, seseorang pelakon itu harus itu wajar meletakkan hal ini sebagai keutamaan dan produksi juga bertanggungjawab untuk menjelaskan semua aspek agar tidak timbui isu indah khabar dari rupa.
“Pernah banyak kali terjadi. Rasa tertipu, rasa buang masa buat projek itu. Macam filem Prebet Sapu, awal-awal lagi penerbit kata dia tak ada bajet besar, tapi saya tengok naskah dia bagus. Beginilah, duit bukanlah benda utama atau semata-mata. Jujurlah. Itu saja yang kita nak,” katanya.
Berkongsi lanjut, Amerul juga menegur sesetengah penerbit yang tidak memiliki latar belakang atau ilmu dunia seni namun tetap mahu ‘beraksi’ sebagai pemain industri.
“Kena tengok juga latar belakang. Mereka itu benar-benar orang industrikah atau peniaga atau usahawan yang tiba-tiba melompat jadi orang filem. Mereka ini adakala tak tahu pun pasal filem, tak tahu hargai seni lalu bagaimana?
“Mereka cuma suka melihat filem itu dari aspek kosmetiknya sahaja. Boleh kira dengan jari, berapa kerat sangat penerbit yang betul-betul tahu macam mana nak terbitkan filem. Pendek kata, banyak faktor yang perlu dibincangkan secara halus.
“Kalau setakat letup-letup kereta dalam filem, letak perempuan cantik di depan dan kemudian dah rasa itu taraf Hollywood, tolonglah fikir semula. Filem Hollywood pun bajet mereka berapa?” katanya.
SUARA ARTIS TIDAK DIDENGARI
Merupakan antara anak seni yang lantang mengutarakan sebarang isu berkaitan industri, anak jati Temerloh ini cukup sedar jika setiap kali luahan dibuat, suara mereka seakan tidak ‘didengari’.
Bukanlah gelanggang menuding jari yang ingin dibuka. Tetapi kata Amerul, alangkah bagusnya jika perubahan demi perubahan membina dapat dilakukan segera apabila setiap kali anak seni hadir dengan keluh kesah mereka.
“Bagi saya, mungkin kesedaran itu tidak cukup kuat lagi. Kita dah pernah pun berkurung di rumah hampir dua tahun kerana pandemik. Tapi segala luahan dan permasalahan yang berputar dalam industri tak ada pun yang berubah.
“Sebab apa? Bila dah dibuka balik sektor seni, semua orang sudah kembali bekerja, mereka semacam orang yang lupa. Dulu, kita perjuangkan pasal waktu kerja, gaji, kebajikan, tapi bila dah bekerja, semua dah lupa,” katanya.
Tidak cuma itu, besar harapan Amerul untuk melihat media massa juga memainkan peranan penting dengan menerapkan lagi lebih banyak perkongsian tentang kerja-kerja artis dan permasalahan berbangkit berbanding semata-mata gosip.
BUKAN TAK BOLEH KAYA TAPI…
Menyentuh mengenai sesetengah pandangan yang beranggapan, masuk sahaja industri seni tentu boleh jadi kaya selain mendapat nama, Amerul tidak menolak tanggapan seperti itu.
Katanya, tiada salahnya dengan pandangan itu. Cuma, masing-masing yang ingin menerobos masuk ke dalam industri ini harus tahu apa niat sebenar mereka.
“Terpulang kepada masing-masing punya sasaran dan niat. Kalau sasar untuk betul-betul kejar duit, ada saja peluang itu. Tapi sanggup tak? Lagipun, ia akan berbalik kepada inti asalnya, ini adalah showbiz. Ada saja yang berjaya jadi kaya dengan hanya menjadi anak seni. Tapi, boleh kira dengan jari.
“Tetapi, sebagai seseorang yang datang dari sekolah seni, saya tak nafi, bila masuk dalam industri ini banyak yang membuatkan saya rasa hampa. Tambah dengan isu mahukan jumlah pengikut yang ramai, nak tengok rupa, semua itu pakej yang utama industri nak pula.
“Kalaulah saya tahu itu yang diperlukan. Tak perlulah saya membazir masa belajar dan cari ilmu seni di sekolah dulu,”katanya.
Mengaku itu adalah antara sisi gelap yang dihidangkan dalam dunia seni kini, Amerul terkilan kerana kini industri tidak begitu mengutamakan bakat pada seseorang pelakon.
“Kalaulah saya tahu industri mementingkan hal-hal itu daripada bakat, mungkin sudah lama saya pergi buat muka dulu. Raih jumlah pengikut yang ramai dan terus buat benda bodoh untuk cepat naikkan jumlah pengikut di media sosial.
“ Untuk apa kita ada banyak pusat pengajian kesenian? Baik tak payah buat, jangan uar-uarkan pun. Waktu saya belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), 60 peratus praktikal dan 40 peratus pula teori dan mereka akan keluarkan graduan untuk bekerja dalam industri kerana rata-rata dah mahir.
“Tapi industri tidak begitu. Lain pula kriteria yang dimahukan. Eh, siapa yang scam siapa ini?”katanya.
Luah Amerul lagi, paling bermain di fikirannya adalah bagaimana nasib anak-anak muda jurusan seni selepas ini yang mungkin terjebak dengan dilema ini.
Dalam pada itu, sempat menitipkan kata-kata semangat buat mereka yang ingin menceburi bidang seni lakon, Amerul begitu menekankan keutamaan dalam mencari ilmu.
Katanya, dalam mana-mana bidang sekalipun, ilmu itu penting bagi memastikan diri dapat kekal berada di satu-satu kedudukan.
“Macam saya yang sedang beralih ke bidang pertanian dan penternakan. Saya pun tengah mencari lagi ilmu tentang itu selain mahu menambah ilmu perniagaan. Apa-apa pun, perlu bergerak dengan ilmu.
“Bukan bergerak dengan isu sensasi atau apa. Benda macam itu, sekejap saja. Memang dapat populariti, tapi penat juga nak kena cipta lagi dan lagi bahan sensasi itu semata-mata nak pastikan diri kekal dapat perhatian.
“Biarlah orang kenal kita dengan hasil kerja. Bukan dengan kisah sensasi sahaja,”katanya.










