Kota Shusha simpan kejelikan Armenia - Utusan Malaysia

Kota Shusha simpan kejelikan Armenia

Salah satu bangunan bersejarah terdapat di kota Shusha yang hampir musnah binaannya kesan kejinya sebuah peperangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan dari kota Baku ke Shusha, Azerbaijan memakan masa lebih lima jam. Sekalipun terpaksa mengharungi perjalanan sejauh hampir 400 kilometer, namun rasa puasannya tak terhingga.

Mana tidaknya, kami tergolong antara yang terawal melawat bumi Shusha yang baru dimerdekakan Azerbaijan dari cengkaman Armenia pada 2020 lalu.

Kami dijemput ke sana untuk melihat sendiri kota itu setelah hampir 30 tahun ditakluki Armenia.

Sebaik sahaja melepasi pusat pengawasan wilayah Karabakh yang sepi tanpa manusia itu, tanpa membuang masa, kami meneruskan perjalanan yang masih berbaki 100 kilometer lagi.

Matahari sudah terbenam. Yang tinggal atas jalan hanya tiga buah van kami. Sesekali kami berselisih dengan pelbagai kenderaan berat. Sejujurnya, semakin lama perjalanan, semakin gemuruh dirasakan kerana perjalanan ke kota itu berbukit bukau dan terletak pada paras ketinggian 1,800 meter!

Kami bertuah kerana jalan raya ini baru siap dibina dan lebih menakjubkan, kerajaan Azerbaijan berjaya menyiapkan jalan sepanjang 100 meter nan berbukit bukau ini dalam masa setahun sahaja.

Kami sekali lagi ditahan di pusat pengawalan polis sebelum dilepaskan masuk ke kota itu. Memang agak meremang sewaktu menuju ke hotel kerana apa yang dilihat hanya bangunan yang sudah rosak tanpa sosok manusia. Kalau ada pun sekadar polis, tentera dan buruh Azerbaijan yang sedang bergiat membangunkan kawasan tersebut.

Pada awalnya, ada di antara kami yang mempersoalkan sama ada di Shusha terdapat hotel atau pun tidak, bukankah kota ini telah pun musnah? Macam mana pula wujudnya hotel di situ? Fikir kami.

TERNGANGA LIHAT HOTEL BAGAI ISTANA
Ternganga mulut kami saat tiba ke hotel yang persis istana itu. Segala-galanya kelihatan baru, cantik, selesa dan bersih. Menurut mereka hotel yang diberi nama Xari Bulbul itu siap dibina dalam tempoh sembilan bulan sahaja. Keesokkan harinya, barulah kami dibenarkan berjalan melihat keseluruhan kota Shusha.

Kota ini ditakluki tentera penceroboh Armenia pada 1992. Selepas penaklukan, habis warga Azerbaijan. Sama ada dihalau atau dibunuh.

Kota Shusha sangat penting untuk Azerbaijan kerana ia merupakan pusat kebudayaan Azerbaijan sejak dari zaman Panahali Khan pada 1752 lagi. Oleh itu, pada tahun ini, kota mutiara Shusha akan menyambut tahun ke 270 dan kerajaan Azerbaijan mengisytiharkan 2022 sebagai tahun Shusha di seluruh negara.

Di mana sahaja kami pergi, yang terpampang hanyalah bangunan-bangunan yang sudah ranap serta penuh dengan kesan peluru dan bom. Tapi pembangunan di sini sangat rancak, lori dan jentera berat keluar masuk tanpa henti. Setiap pelosok kawasan kelihatan buruh sedang giat membina dan membaiki jalan, bangunan bahkan masjid.

Antara kawasan kami lawati termasuklah kubu Shusha yang siap dibina pada 1751 dan dimiliki pemerintah pertama Khanate Karabakh iaitu Panah Ali Khan.

Kubu ini ada tiga pintu masuk utama iaitu pintu masuk Ganja, Iravan dan Aghoghlan.

Sebaik melepasi pintu masuk Ganja, apa yang kami perhatikan sekadar monuman dan bangunan bersejarah yang berkecai dek tangan-tangan Armenia. Walau ada yang sudah dibaiki sudah pasti tiada lagi sentuhan asal.

Lebih 350 tentera Azerbaijan terbunuh ketika berjuang untuk mengembalikan kota ini dari tangan Armenia pada 2020. Pada hari ini, warga Azerbaijan boleh duduk dengan lega dan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk pembangunan Shusha khususnya dan seluruh wilayah Karabakh yang musnah akibat tangan penceroboh Armenia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×