Kata orang ujian dan dugaan ketika di alam pertunangan begitu besar. Darah tengah manis. Apabila jari tersarung cincing tunang, mulailah ternampak-nampak orang lain lebih hebat dan baik daripada tunang sendiri.
Yang perempuan nampak lelaki lain lebih kaya dan tampan. Yang lelaki pula nampak perempuan lain lebih cantik, bergaya dan memahami.
Kes putus tunang atau membatalkan perkahwinan yang dirancang bukanlah pelik dalam kalangan masyarakat.
Dalam banyak kes, ia diselesaikan dengan baik, biarpun salah satu pihak pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pembatalan itu.
Antara punca putus pertunangan ialah adanya gangguan pihak ketiga.
Minggu ini saya kongsikan kisah Zurie (bukan nama sebenar) yang berpengalaman putus tunang sebanyak empat kali.
Mungkin kedengarannya agak tidak masuk akal, tetapi kisah Zurie benar-benar terjadi. Dia putus tunang selepas tiga hingga enam bulan bertunang.
Kesudian Zurie berkongsi kisahnya bukan untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya mahu menjadi pengajaran kepada orang lain.
Zurie merupakan seorang guru sekolah rendah di Muar, Johor.
Pada awalnya, Zurie bertunang dengan Azman (bukan nama sebenar). Azman merupakan teman lelaki yang dikenali ketika sama-sama menuntut di univeriti sama di utara tanahair.
Hubungan mereka pada awalnya baik.
Disebabkan Azman merupakan ‘anak emak’ semua perkara yang dihendak dibuat perlu dirujuk ibunya dahulu.
Azman seolah-olah tiada pendirian dan tidak tahu berdikari.
Ini termasuk keputusan mengejut dibuat Azman untuk memutuskan pertunangan dan membatalkan perkahwinan mereka disaat akhir semata-mata terpaksa menerima wanita pilihan ibunya.
Walaupun agak terkilan dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh lelaki yang dicintai, Zurie reda dengan ketentuan Allah.
Selepas empat bulan berstatus single Zurie bertemu pula dengan Jamil (bukan nama sebenar).
Lain pula kisahnya, ketika dia menjadi tunangan kepada lelaki kelahiran pantai timur itu.
Orang ketiga merupakan racun dalam hubungan mereka.
Kehadiran Nana (bukan nama sebenar) menimbulkan keretakan perhubungan mereka. Walaupun berstatus tunangan orang, Nana yang merupakan rakan sekerja Jamil sedaya upaya cuba memikat lelaki yang menjadi idamannya selama ini.
Sikap Nana yang terlebih peramah itu pada akhirnya membuatkan hati Jamil cair dan terpaut lantas membuat keputusan memutuskan tali pertunangan dengan Zurie.
Alangkah sedih dan pilunya hati Zurie apabila kata-kata itu keluar daripada mulut lelaki yang selama ini berjanji untuk sehidup semati.
Semasa putus tunang, emosi Zurie sedikit terganggu. Ini kerana ia berlaku ketika waktu perkahwinan mereka terlalu hampir. Persiapan majlis perkahwinan diadakan dan tetamu sudah diundang.
Pembatalan perkahwinan pada saat-saat akhir itu bukan sahaja mengecewakan Zurie, tetapi seluruh ahli keluarga.
Mereka bukan sahaja menanggung kerugian kewangan menyediakan persiapan perkahwinan tetapi maruah juga turut tercalar dan menerima aib pada mata masyarakat.
Di saat Zurie dilanda kesedihan, rakan sepejabatnya Anuar (bukan nama sebenar) yang selama ini memang menaruh hati terhadapnya hadir pada waktu tepat.
Anuar menjadi tempat Zurie meluahkan perasaan. Hubungan mereka semakin rapat.
Sepanjang lebih enam bulan berkawan rapat dengan Anuar, Zurie mulai rasa tertekan apabila ibu bapanya mahu hubungan mereka diakhiri dengan ikatan sah.
Atas persetujuan bersama, akhirnya Zurie dan Anuar mengikat tali pertunangan.
Kurang sebulan bertunang, Anuar diarahkan bertukar ke cawangan baru di Kuala Lumpur.
Ketika berjauhan dengan Zurie, Anuar mulai ragu-ragu dengan pilihannya. Dia ada dua pilihan ketika itu iaitu Zurie dan Salima (bukan nama sebenar). Dalam tempoh menghitung hari dan bulan menuju hari perkahwinan, tiba-tiba Anuar berasakan teman lamanya lebih sesuai dengan jiwanya.
Bagai batu menghempap kepala, sekali lagi Zurie dikejutkan apabila pihak lelaki mahu memutuskan ikatan pertunangan.
Enggan terlalu larut dalam kesedihan, kurang dua bulan selepas putus tunang, Zurie menjalinkan hubungan cinta dengan abang kepada kawan baiknya.
Ketika bercinta, Zurie nampak Hafiz (bukan nama sebenar) sangat membahagiakan. Jauh disudut hati, Zurie berharap hubungan mereka sampai ke jenjang pelamin. Sayangnya, apabila bertunang, Zurie mula nampak perangai sebenar Hafiz.
Sikap cemburu berlebihan membuatkan Zurie berasa rimas. Hafiz sentiasa memantau setiap pergerakan Zurie. Ke mana, dengan siapa Zurie keluar perlu dilaporkan kepadanya.
Sekali dua, Zurie mampu bertahan. Namun apabila tangan sudah naik ke muka, Zurie berasa sudah tiba masanya dia membuat keputusan untuk berpisah dengan Hafiz.
Kali ini Zurie sendiri yang memutuskan tali pertunangan. Dia berlapang dada dengan keputusan yang dibuat.
Zurie yakin setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah disebaliknya. Usia Zurie kini sudah menginjak akhir 30-an.
Mengakui apa yang berlaku tidak membuatkan dirinya serik untuk bercinta lagi namun Zurie ingin memberi ruang kepada diri sendiri sebelum kembali menjalin cinta dengan seseorang.
Sebagaimana Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.
Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Ini sesuai dengan sebuah hadis yang diterangkan bahawa seorang sahabat Rasullulah SAW iaitu Anas r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda bermaksud:
..bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.










