LONDON: Sekatan import minyak dan gas Rusia oleh Amerika Syarikat (AS), menyebabkan lebih banyak kargo di laut tanpa pembeli, kata para penganalisis ekonomi.
Malah, mereka berpendapat, keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk meneruskan import minyak dan gas Rusia tidak membawa banyak perbezaan kepada ketidakstabilan dalam perdagangan minyak Rusia.
Presiden AS Joe Biden pada Selasa mengenakan larangan serta-merta ke atas import minyak dan tenaga lain dari Rusia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ke atas Ukraine, sementara Britain pula membertahu, negara itu akan menghentikan import secara berperingkat sehingga akhir 2022, lapor Reuters.
Import minyak dari Rusia membentuk kira-kira 3 peratus daripada semua penghantaran minyak mentah yang tiba di AS pada tahun lepas.
Menurut laporan, EU tidak menyertai sekatan berkenaan kerana blok itu lebih bergantung kepada bekalan minyak dan gas Rusia.
Aliran gas ke Eropah setakat ini adalah stabil sejak pencerobohan yang Rusia panggil “operasi ketenteraan khas”. Moscow pada Isnin memberi amaran bahawa sekatan ke atas minyak Rusia boleh mendorongnya untuk menutup saluran paip gas utama ke Eropah.
Gangguan terhadap perdagangan minyak berkemungkinan bertambah buruk selepas sekatan AS, disebabkan peniaga mengelak daripada bekalan Rusia kerana bimbang mereka mungkin tanpa sedar melanggar sekatan yang dikenakan, kata peniaga.
Pembeli juga bimbang risiko tindakan Shell membeli minyak Rusia pada hujung minggu. Shell sebelum ini berkata, ia akan berhenti membeli minyak dari Rusia dan memutuskan hubungan ke negara itu sepenuhnya.
Rusia mengeksport kira-kira 7 juta tong sehari bahan api mentah dan ditapis, kira-kira 7 peratus daripada bekalan global.
Ketika Biden mengumumkan sekatan AS, terdapat 34 kargo minyak Rusia di atas 26 kapal menuju ke AS, kebanyakannya adalah minyak, termasuk 3.2 juta tong minyak mentah, menurut ahli strategi tenaga yang berpangkalan di Houston, Clay Seigle, memetik data Vortexa.
Goldman Sachs menganggarkan lebih separuh daripada minyak Rusia yang dieksport dari pelabuhan masih tidak terjual. JP Morgan pula menganggarkan kira-kira 70 peratus minyak Rusia sedang bergelut untuk mencari pembeli.
Penganalisis BCA Research berkata, beberapa syarikat swasta memboikot tenaga Rusia, tetapi ia tidak melihat kesan tindakan itu setakat ini.
“Anggaran berbeza-beza tetapi kira-kira 20 peratus daripada eksport minyak Rusia boleh terjejas setakat ini,” kata BCA, sambil menambah, minyak mentah Rusia masih boleh sampai ke pasaran seperti China.
Pada 2021, tenaga adalah produk paling banyak diimport oleh EU dari Rusia, menyumbang 62 peratus daripada jumlah import rantau berkenaan, atau bersamaan kira-kira €99 bilion.
Dalam pada itu, minyak mentah meneruskan rali, dengan Brent melepasi AS$130.10 setong, naik 1.68 peratus, ketika berita ini ditulis. WTI pula menokok 1.58 peratus kepada AS$125.3 setong.
Terdahulu, Brent diniagakan hampir AS$126 (kira-kira RM527.06) setong selepas Biden berkata AS akan mengharamkan import minyak mentah Rusia.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata, ia sedang berbincang dengan pengeluar minyak berkenaan bekalan tambahan dan terdapat kapasiti ganti yang boleh digunakan. IEA turut menjangkakan harga minyak mentah boleh naik lebih tinggi. – AGENSI










