PETALING JAYA: Dasar baharu memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu memfokuskan kepada elemen teknologi masa hadapan tanpa meninggalkan kursus-kursus tradisional.
Dengan penguasaan dalam bidang seperti teknologi maklumat, pengaturcaraan, dan kecerdasan buatan (AI), akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir sekaligus menyumbang kepada pembangunan industri negara melalui TVET.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, elemen keusahawanan dalam silibus pembelajaran juga perlu ada sebagai nilai tambah untuk pelajar lulusan TVET menjadi usahawan.
“Kalau sebelum ini TVET dikaitkan dengan bidang mekanikal, automotif dan kulinari, tetapi kali ini kita pelbagaikan lagi dengan bidang yang telah saya sebut. Kita mahu TVET berdaya maju seiring dengan pembelajaran dalam bidang akademik.
“Ini adalah pelaburan jangka panjang, kerana pelaburan TVET memang baik untuk negara. Lihat sahaja di Jerman, Korea dan Jepun, tahap penguasaan TVET mereka sudah sampai 70 peratus berbanding akademik 30 peratus.
“Kadar gaji daripada aliran ini juga lumayan, jadi saya tiada masalah jika kita fokus pada TVET. Cuma, kerajaan perlu mempromosikan lebih luas bidang ini supaya ibu bapa lebih terbuka dan bersedia menghantar anak-anak belajar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kelmarin bahawa kerajaan bercadang menggubal dasar TVET bagi memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang itu.
Cadangan
Cadangan itu membolehkan murid sekolah yang menghabiskan persekolahan di peringkat rendah memilih mata matapelajaran yang mahu diceburi apabila melangkah ke Tingkatan 1.
Dalam pada itu, kata Anuar, memandangkan sebelum ini pilihan mata pelajaran hanya diberikan kepada pelajar Tingkatan 4, namun beliau tidak melihat sebarang masalah dilaksanakan untuk pelajar Tingkatan 1.
“Kita sudah ada pengalaman melaksanakannya di Tingkatan 4, jadi tiada masalah jika ia diberikan kepada pelajar di peringkat lebih awal. Sememangnya cadangan kerajaan sangat baik, jika bermula lebih awal lebih baik.
“Selain itu, saya tidak lagi berasa masyarakat memandang TVET sebagai kelas kedua, kerana kajian di peringkat fakulti sendiri mendapati, ibu bapa menerima bidang ini sebagai laluan kerjaya anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN










