Pandemik Covid-19 menyaksikan perubahan lanskap sosial negara. Ia turut merubah aspek boleh dimainkan wanita dalam menambah baik ekonomi dan kesejahteraan keluarga.
Profesor di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin berkata, berdepan dengan pasca Covid-19, wanita perlu memiliki kemahiran dan mencipta peluang baharu disediakan pihak kerajaan dalam usaha pemerkasaan ekonomi keluarga.
Katanya, latihan, motivasi, strategi pemasaran, bantuan mahupun subsidi dalam membantu wanita memulakan perniagaan, biarpun ada kekangan tertentu akibat pandemik perlu terus diberikan perhatian dalam usaha memperkasa wanita.
“Peluang tersedia seperti ditawarkan dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) nyata membantu ramai peniaga wanita. Secara tidak langsung hal ini membolehkan mereka sendiri mencipta peluang kerjaya kepada wanita yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai Sambutan Hari Wanita hari ini.
Bertemakan Saksama Bersama, ia dipilih sebagai untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita terus digilap.
Beliau yang juga Pengarah Bersekutu (Global Strategy and Engagement) UTM International menegaskan, Covid-19 seharusnya dilihat sebagai suatu hikmah untuk wanita lebih agresif dalam membangunkan semula ahli keluarga lain yang mungkin turut terkesan akibat virus membunuh itu.
“Dalam melakukan perubahan, saya turut menyaran wanita untuk bijak menyusun keutamaan dalam menguruskan kerjaya dan tuntutan sebagai ibu, wanita dan anak, bagi memastikan kesihatan mental mereka terjaga dengan baik.
“Sudah pasti dalam hal ini, suami memainkan peranan yang amat penting dalam mendokong usaha dan semangat wanita mengorak langkah maju ke hadapan. Dengan adanya tolak ansur dan kefahaman, kedua-dua belah pihak pastinya akan memperoleh manfaat bersama,” katanya.
Menyentuh mengenai aspek positif dalam diri, katanya ia boleh diperoleh dengan menangkis pemikiran negatif.
“Wanita yang ada pelbagai tanggungjawab perlu bijak merancang.
“Dalam menjaga kesihatan mental, libatkan diri dengan orang-orang yang positif dan membina. Hal ini sangat penting kerana mereka yang akan sentiasa menyokong dan menggembirakan kita,” katanya.
Sebaliknya, jelas beliau, sekiranya ada masalah dan tidak mampu diselesaikan, rujuklah doktor perubatan.
SELAMAT HARI WANITA:
1.”HEBATNYA wanita sehingga seluruh dunia meraikannya. Selamat menyambut Hari Wanita kepada seluruh wanita hebat dalam Keluarga Malaysia. Di tangan seorang wanita itu ada sesuatu yang tinggi nilainya. Dalam lembutnya menghayun buaian ada kewibawaan yang luar biasa. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia”
Datuk Seri Rina Harun
Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat
2.”SEBAGAI wanita kita patut berbangga kerana masih mampu menjalani tanggungjawab pada keluarga dan kerja, apatah lagi dalam keadaan Covid-19. Prinsip saya, if it is the right thing to do, I will not have a second thought! Nothing can stop me because the sky is the limit! Yang penting perlu berani, ikhlas dan usaha bukan kerana nama. Jadikan kejayaan dan kegagalan sebagai sumber inspirasi anak-anak, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia serta antarabangsa”
Prof. Madya
Dr. Masliza Mahmod
Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal di Pusat Penyelidikan Resonansi Magnetik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford dan Perunding Pengimejan Jantung di Oxford University Hospital.
HARI WANITA:
» Di sambutan 8 Mac.
» Bertemakan Saksama Bersama, ia dipilih sebagai untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita.
» Tema ini selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow.
» Pemilihan tema disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif.









