SEJAK dua tahun lepas, Shazana Mahazir, 36, memikul tanggungjawab mewarisi perniagaan pembuatan kuah rojak popular dari utara tanah air, Mak Bee Utara (M) Sdn. Bhd. demi kelangsungan produk berusia lebih 40 tahun itu.
Legasi ketiga Mak Bee ini memberitahu, sebagai anak tunggal dia menjadi satu-satunya harapan keluarga untuk meneruskan perniagaan yang dibina oleh arwah neneknya, Bibi Abdullah yang meninggal dunia ketika dia berusia 18 tahun.
Kuah Rojak Mak Bee merupakan antara pelopor terawal makanan kesukaan ramai yang bermula di laman rumah Bibi pada 1980 sebelum beralih tangan kepada ibu Shazana, Mimi Rashid, 65, setelah wanita mualaf itu meninggal dunia.
Bercerita tentang sejarah Kuah Rojak Mak Bee yang terkenal seantero negara, kata ibu kepada empat anak ini, arwah neneknya itu cuma sekadar suka-suka apabila dia menjual kuah rojak resepi turun-temurun itu kepada rakan dan jiran di sekitar bandar raya Alor Setar.
“Ibu saya seorang guru, jadi saya banyak menghabiskan masa dengan arwah nenek masak kuah rojak ini di belakang rumah kami. Dulu dia cuma masak satu periuk sebesar 60 sentimeter (cm) itu saja kemudian bertambah apabila permintaan bertambah dan sedar jenama Mak Bee ini sudah terkenal.
“Perniagaan ini menyimpan banyak memori arwah dan bagaimana dia selalu cakap jangan lupa diri dan malu kerana bisnes ini juga yang menyara keluarga kami. Saya ingat di sekolah saya sering dihina kerana baju berbau kuah rojak, belacan tetapi saya tetap bangga, “ kata Pengarah Urusan Mak Bee Utara ini ketika ditemu bual di sini baru-baru ini.
Bermula daripada seperiuk, produksi kuah rojak berkenaan meningkat dan kini antara 24 hingga 40 periuk setiap hari bagi menghasilkan lebih 8,000 bekas mengikut permintaan ramai.
Melihat keuzuran ibunya yang nekad mewarisi perniagaan tersebut setelah ketiadaan nenek, dia tekad untuk pulang Kedah pada Mac 2020 ketika Covid-19 melanda negara walaupun mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat e-dagang antabangsa dekat Kuala Lumpur.
“Ibu sudah uzur dan tidak mampu menguruskan syarikat ini dengan baik. Jadi tanggungjawab saya untuk pulang. Saya bernasib baik kerana hasrat ini mendapat sokongan yang kuat daripada suami, Izal Hazli Hashim, 41, yang kini turut berkhidmat sebagai Pengurus Operasi syarikat ini,” kata graduan UiTM ini.

Walaupun syarikat berkenaan sudah lebih empat dekad berada dalam industri makanan, Shazana terpaksa berusaha keras membangun dan mengkomersialkan semula produk tersebut dengan sebaik mungkin.
“Ini cabaran paling berat untuk saya kerana ia perniagaan tradisional yang tidak ada organisasi sistematik. Saya terpaksa susun atur semula termasuk dari segi operasi, akaun dan pelan syarikat,” katanya.
Alas alasan itu kata Shazana, Mak Bee Utara membuka sebuah premis perniagaan di Alor Setar sebagai usaha memperluaskan pasaran produk berkenaan.
“Kedai Mak Bee Mart ini beroperasi sejak Oktober tahun lepas yang menempatkan produk kuah rojak Mak Bee dan pelbagai produk usahawan industri kecil dan sederhana lain dari seluruh Malaysia.
“Macam-macam ada termasuk produk sejuk beku usahawan tempatan. Ini objektif utama saya selain pasarkan produk Mak Bee saya ingin bantu usahawan IKS juga,” katanya.
Langkah Mak Bee Utara tidak akan terhenti di situ sahaja, kata, Shazana, kerana syarikat berkenaan merancang untuk membuka sebuah kilang pengeluaran kuah rojak itu pada Mac ini.
“Kami ingin menambah pengeluaran mengikut permintaan. InsyaAllah kilang ini akan beroperasi Mac ini. Sebenarnya sudah lama kami ingin berpindah ke sini tetapi akibat pelbagai kekangan termasuk perintah kawalan pergerakan, kami tangguh dulu.
“Pada masa yang sama, Mak Bee Utara juga akan membuka sebuah kilang belacan bersebelahan kilang kuah rojak ini kerana pembuatan belacan sendiri yang merupakan bahan utamanya diharapkan dapat melancar produksi kami. Ada ketikanya produksi tertangguh sebab belacan kurang,” katanya yang melabur lebih RM100,000 untuk membuka kilang tersebut.
Dengan perolehan syarikat lebih RM2.5 juta ketika ini, Mak Bee Utara boleh berbangga dengan perkembangan itu namun bagi Shazana langkahnya dalam perniagaan itu baru bermula.
“Banyak yang masih kami lakukan untuk kelangsungan syarikat ini termasuk persaingan yang hebat dalam industri makanan ini. Bagi saya ini satu yang normal dalam perniagaan,” katanya. – UTUSAN











