Pemakanan sihat, tips lawan Covid-19 - Utusan Malaysia

Pemakanan sihat, tips lawan Covid-19

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

Antara kaedah mengurangkan risiko jangkitan adalah kawalan kendiri, vaksinasi dan pengambilan makanan sihat.

Pakar Pemakanan Klinikal Hospital Pakat KPJ Tawakkal, Lee Shin Jie, berkata pemakanan sihat boleh menjadi imunisasi semula jadi dalam badan.

Katanya, ia termasuklah juga pengambilan makanan yang sederhana mengikut tiga waktu makan utama yang tetap iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

“Ini bagi memastikan individu mendapat kembali makronutrien dan mikronutrien yang diperlukan bagi proses pemulihan tubuh daripada virus,” katanya.

Pengambilan diet perlu berdasarkan piramid makanan dan Pinggan Sihat Malaysia.

Tambah Shin Jie, selain vaksin, tiada jalan pintas atau makanan tertentu yang akan meningkatkan imun atau sistem pertahanan badan.

Ini kerana pengambilan makanan sihat dan seimbang adalah kunci utama dalam mendapatkan segala nutrisi yang badan kita perlukan untuk memastikan sistem pertahanan badan berfungsi secara optimal.

“Ini termasuk makan sekurang-kurang lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang pelbagai.

“Ibu bapa juga boleh pilih makanan mengandungi bijirin penuh seperti roti, nasi dan pasta sebagai sumber karbohidrat.

“Berikan anak-anak pilihan kekacang, ikan, telur dan daging tanpa lemak sebagai sumber protein. Kanak-kanak juga memerlukan dua hidangan susu atau produk tenusu kurang lemak (termasuk produk soya) setiap hari,” katanya.

BANYAK MINUM AIR KOSONG

Lee turut menyarankan ibu bapa untuk mengehadkan pengambilan garam dan gula tambahan. Sebaliknya, tingkatkan air kosong sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.

“Sebahagian besar, kira-kiranya 60 peratus tubuh manusia terdiri daripada air dan sebab itulah air penting untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap optimal,” katanya.

Tegasnya, pemakanan sesuai semasa jangkitan Covid-19 kekal sama seperti individu tidak dijangkiti iaitu pemakanan sihat yang seimbang.

Bagaimanapun, ada sesetengah individu yang mempunyai gejala seperti kesesakan bernafas, hilang selera makan, hilang deria dan rasa memerlukan pemakanan khusus.

Contohnya, protein dan antioksidan memainkan peranan penting dalam menyokong sistem pertahanan badan terutamanya semasa pandemik ini.

“Kebanyakan antioksidan dalam makanan boleh didapati dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna.

“Sementara itu, protein adalah seperti ikan, ayam, tahu, telur, kacang dan daging tanpa lemak. Tiada satu makanan atau vitamin yang boleh meningkatkan sistem pertahanan badan kita, walaupun ia Vitamin C yang diuar-uarkan di pasaran,” katanya.

Kanak-kanak turut memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 kalori sehari untuk tumbesaran dan sumber tenaga.

Cara terbaik adalah dengan menghidangkan tiga sajian dan dua snek sehari.

Kalori adalah unit digunakan sebagai tenaga yang dihasilkan oleh badan semasa proses pencernaan atau penghadaman makanan atau minuman.

“Kalori ini diperlukan untuk pelbagai aktiviti harian seperti pengekalan suhu badan, aktiviti metabolisma dan proses pertumbuhan.

“Makan ikut keperluan kalori bermaksud makan mengikut kehendak tubuh untuk melakukan aktiviti seharian secara optimal.

“Jadi, pastikan pengambilan kalori seimbang dengan tahap aktiviti fizikal bagi memastikan tubuh berfungsi dalam kadar optimal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×