PETALING JAYA: Peralihan tenaga negara terus menjadi antara agenda utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco).
Dalam usaha mencapai agenda tersebut, syarikat utiliti itu memanfaatkan apa jua kawasan yang sesuai, sekalipun ia adalah kolam abu di stesen janakuasa bagi menjana tenaga daripada sumber suria dengan
memasang panel solar fotovoltaik (PV) terapung.
Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS), Manjung Perak merupakan stesen perintis projek ladang solar terapung TNB.
Menurut syarikat utiliti negara itu, kolam bersaiz 175 hektar yang menjadi tempat pembuangan abu dasar (bottom ash), berpotensi dijadikan ladang solar terapung untuk menjana tenaga sekurang-kurangnya 100MW.
Katanya, ketika ini, sebanyak 288 panel solar PV telah dipasang di kolam itu dengan kapasiti terpasang 105.12kWp bersamaan pengurangan 7.9 tan pelepasan karbon sebulan atau penyerapan
karbon dioksida oleh 409 pokok.
“Tenaga elektrik yg dijana melalui sistem ini dapat menampung keperluan tenaga elektrik bagi 30 buah rumah.
“Projek ini menyokong aspirasi Reimagining TNB (RT) dalam mewujudkan pertumbuhan melalui sumber penjanaan masa hadapan, khususnya dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Ia juga adalah sebahagian penyelesaian inovatif hasil daripada aspirasi strategik syarikat, Reimagining TNB (RT), dalam mewujudkan pertumbuhan melalui sumber penjanaan masa hadapan bagi menangani perubahan iklim dan meningkatkan komitmen terhadap ESG.
“Penyelesaian tenaga mampan TNB lain termasuklah ladang solar berskala besar (LSS) dan panel solar atas bumbung,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai pembekal bekalan elektrik utama negara syarikat komited terhadap kelestarian tenaga hijau untuk masa depan yang mampan. – UTUSAN










