Koperasi Kariah Masjid (KKM), ditubuhkan bertujuan membantu menjana ekonomi dalam kalangan ahlinya. Usaha penubuhan KKM di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) seiring dengan firman Allah bermaksud: Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja yang engkau semua lakukan dari kebaikan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui’. (al-Baqarah:215)
Kewujudan KKM antara langkah penting kerana landskap ekonomi global dan negeri ini kian berubah. Ia sekaligus menuntut inovasi bagi memastikan ahli kariah masjid tidak ketinggalan dalam apa juga peluang perniagaan baharu yang wujud pasca pandemik Covid-19.
Hal ini selaras dengan penubuhan KKM Tengku Sulaiman Kampung Sungai Marong, Ketari, Bentong pada 2012. Memiliki seramai 290 keahlian, antara lain ia membantu memberi manfaat peluang perniagaan dalam kalangan ahli kariah serta signifikan menambah dana koperasi tersebut.
Ia turut menyediakan barangan halal dengan harga yang lebih murah, menerusi jualan di kios dan gerai dalam kawasan masjid untuk mereka yang kurang berkemampuan, asnaf dan ahli kariah yang datang berimarah di rumah ibadat itu.
Antara insiatif lain dibangunkan KKM Tengku Sulaiman ialah membuka Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) untuk kemudahan ahli kariah dan musafir berbelanja barangan halal seperti makanan dan pakaian.
Sementara itu, majlis pembukaan Kedai, disempurnakan Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah yang diadakan sempena perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Kariah Masjid Tengku Sulaiman di Sungai Marong, Ketari baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi KKM Tengku Sulaiman Sungai Marong, Razali Zainal, 78, berkata, kewajiban pihak pengurusan masjid menubuhkan KKM untuk mengeluarkan produk dan memasarkan barangan halal bagi kebaikan kalangan pengguna khususnya orang Islam kawasan itu amat dipuji.
Tanggungjawab itu katanya, selari dengan firman Allah dalam bermaksud:
‘Maka barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebarat timbangan debu, maka ia akan mengetahuinya, di akhirat nanti memperoleh balasan-Nya.’ (Az-Zalzalah: 7).
Razali berkata, sebanyak 10 buah gerai Kedai Projek Barang Asas 100 (BA100) dibuka, melibatkan perniagaan ahli kariah setempat dalam ketegori 100 barangan halal seperti pelbagai jenis makanan yang dibungkus, minuman termasuk pakaian dan minyak atar.
“Nampaknya kios atau gerai di kawasan masjid ini mendapat sambutan ahli kariah serta musafir dan tidak perlu lagi berbelanja di tempat lain ketika singgah bersolat di sini.
“Koperasi masjid ini sudahpun merancang untuk melebarkan perniagaan peruncitan barang keperluan dapur di luar kawasan masjid dengan menyewa premis di luar bagi kemudahan pengguna dalam kalangan orang Islam berbelanja,” katanya.
Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) menjelaskan usaha pengurusan KKM Tengku Sulaiman amat relevan kerana ia bertepatan dengan usaha kerajaan menggalakkan pengguna berbelanja barangan halal.
Lebih-lebih lagi produk diusahakan oleh pengusaha tempatan dalam kalangan ahli koperasi sendiri.
“Bidang muamalat berasaskan koperasi bukan sahaja memberikan manfaat kepada ahli kariah yang menyumbangkan dana atau saham, tetapi pada masa yang sama dapat membantu golongan yang memerlukan seperti asnaf, kumpulan B40 mahupun penduduk setempat berbelanja barangan halal dan lebih murah.
“Saya turut mencadangkan supaya KKM mengubah strategi perniagaan dengan menumpukan bidang pengeluaran dan perniagaan barangan halal berskala besar yang kompetitif untuk jaminan kemudahan pengguna khususnya orang Islam,” katanya.
511 MASJID
Sehingga ini sebanyak 511 buah masjid dan surau telah menubuhkan koperasi masing-masing di seluruh negara.
“Jumlah keseluruhan koperasi kariah masjid yang bernaung di bawah Angkasa cuma menyumbangkan kadar masih kecil, iaitu sebanyak satu peratus sahaja ekonomi berasaskan produk dan pemasaran barangan halal.
Sedangkan negara memiliki hampir 25 juta populasi rakyat beragama Islam.
“Kita menyasarkan sebanyak 10,000 koperasi kariah masjid dan surau ditubuhkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dalam usaha melebarkan perniagaan barangan halal selain membantu penduduk memperoleh barang makanan yang lebih murah,” katanya.
Abdul Fattah turut meminta KKM Tengku Sulaiman Sungai Marong mencontohi Rasulullah SAW dan para sahabat kepada suatu kejayaan perniagaan dalam konteks penubuhan koperasi bukan sahaja memberikan kejayaan bagi individu (ahli kariah) malah membawa masyarakat Islam kepada bidang perekonomian yang maju.
Tambahnya, ahli kariah perlu turut mengamalkan konsep ‘jamaah’ iaitu saling bantu-membantu mengeluarkan dan memasarkan produk halal dengan kerjasama koperasi dan pengusaha Bumputera lain untuk memperkasakan ekonomi dan keselesaan pengguna dalam kalangan umat Islam.
Dalam pada itu, peniaga minyak atar dan pakaian, Bilai Mohd Aslam, 26, berkata, dia berniaga di Kedai B100 koperasi masjid tersebut sejak setahun lalu dengan menjual barangan daripada negara Arab dan Pakistan.
“Saya berasa syukur kerana kemudahan gerai di masjid ini memberikan peluang berniaga dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.









