PETALING JAYA: Pasaran komoditi dijangka terus meningkat dengan spekulasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan makanan terutamanya berkaitan jagung dan gandum, ekoran peperangan Rusia-Ukraine, baru-baru ini.
Ukraine dan Russia secara bersama mengeluarkan lebih suku daripada dagangan gandum dunia, selain satu per lima jualan jagung, selain Rusia yang merupakan pengeksport kos rendah utama bagi hampir semua jenis baja.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah dan gas juga dijangka terus meningkat kesan daripada kebimbangan global kepada bekalan tenaga utama.
“Ketegangan geopolitik itu juga melonjakkan harga komoditi emas. Kaunter-kaunter pasaran saham yang berkaitan emas, minyak dan gas dijangka akan menerima kesan positif daripada perkembangan semasa.
“Bagaimanapun, pembetulan pasaran akan berlaku kepada pasaran minyak dan emas setelah meningkat mendadak apabila Rusia memulakan serangannya.
“Namun untuk jangka panjang, kedua-dua pasaran ini akan terus meningkat tetapi tidak mendadak seperti minggu lepas akibat reaksi pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Khamis lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, menyifatkan ia sebagai ‘operasi ketenteraan khas’ dan bukan bertujuan menduduki negara itu.
Kesan serta-merta daripada peperangan itu, harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 (RM419.73) setong untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun manakala harga emas mencecah AS$1,914.25, paras tertinggi sejak 1 Jun.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi menjelaskan, berlainan pula dengan pasaran ekuiti, mata wang dijangka akan berhati-hati mengikuti perkembangan terkini peperangan Ukraine dan Rusia.
“Prestasi ringgit dan mata wang negara-negara lain dijangka akan melemah berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS$).
“Ini adalah kerana pengurus dana mengubah portfolio mereka kepada mata wang yang lebih selamat dalam dolar AS, selain ura-ura Rizab Persekutuan AS akan menaikkan lagi kadar faedahnya bagi menangani kenaikan inflasinya yang tinggi iaitu 7.0 peratus pada disember 2021, tertinggi dalam 39 tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi bursa akan bercampur-campur iaitu sektor minyak dan gas akan meningkat, begitu juga sektor perladangan melibatkan minyak sawit.
“Sektor elektronik mungkin sedikit terjejas kerana eksport utama Malaysia ke Rusia ialah elektronik. Harga komoditi seperti minyak dan gas akan kekal tinggi iaitu Brent sekitar AS$100 setong manakala harga komoditi minyak sawit juga akan kekal tinggi melebihi RM5,000 setan.
“Ringgit dijangka akan mengukuh berbanding dolar AS,” jelasnya. – UTUSAN










