TNB, MARii bangunkan ekosistem EV - Utusan Malaysia

TNB, MARii bangunkan ekosistem EV

TNB dan MARii menandatangani kerjasama membangunkan ekosistem EV di dalam negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute (MARii) dalam mewujudkan platform bagi menangani cabaran penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara menyeluruh, seiring peralihan tenaga negara.

Kerjasama TNB dengan agensi utama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, bertunjangkan kolaborasi pembangunan bersama ekosistem EV, membolehkan pelaksanaan Mobility as a Service (MAAS) dan inisiatif berkaitan dalam pasaran automotif di Malaysia.

Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semalam, yang antara lain membolehkan TNB mengambil bahagian bersama-sama dengan MARii dalam menubuhkan EV Interoperability Centre (EVIC) di Cyberjaya termasuk dalam pembahagian tenaga dan rangkaian grid, bagi mewujudkan garis panduan pengembangan penggunaan EV di seluruh negara.

MoU tersebut ditandatangani Chief Global Business Solutions Officer TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MaRii, Datuk Ts. Mohamad Madani Sahari di Ibu pejabat TNB, disaksikan Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

Mengulas kerjasama tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, dalam usaha menuju mobiliti rendah karbon sejajar peralihan tenaga negara, TNB mengambil langkah jelas menerokai bidang mobiliti elektrik yang memberi fokus kepada tenaga hijau, termasuk menyediakan infrastruktur EV.

Kata beliau, usaha itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat dengan keutamaan terhadap tahap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi agenda TNB.

“Kerjasama ini bukti komitmen TNB terhadap inisiatif kerajaan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus dalam tahun 2030.

“Ia turut merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Kelestarian (Sustainability Pathway) TNB ke arah pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

“Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur mengenai komitmen terhadap ESG dan inisiatif menangani perubahan iklim, malah menyediakan potensi langkah-langkah strategik pengembangan bisnes melangkaui kWh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohamad Madani berkata, sektor mobiliti masa depan bakal meluaskan rangkuman kepada sektor-sektor baharu yang sebelum ini tidak berkait dengan pembuatan kenderaan konvensional.

Katanya, kolaborasi itu adalah langkah ke hadapan menuju era mobiliti terhubung (connected mobility), bermula dengan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.

“MARii dan MITI bakal menubuhkan Electric Vehicle Interoperbility Center (EVIC), di mana teknologi penjanaan dan penyimpanan tenaga akan menjadi pemegang taruh penting dalam mengembangkan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan bagi kegunaan pengilang EV dan pembekal komponen kritikal di bawah EVIC,” katanya.

MoU itu juga memberi fokus terhadap pelaksanaan Projek Perintis EV Hab Langkawi yang menyokong visi sasaran Pulau Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon 2030.

Antaranya, menerusi potensi memperkenalkan EV mampu milik dengan kerjasama pihak institusi perbankan, para pembekal, pengilang & pengedar kenderaan dan pengusaha kereta awam, teksi serta e-hailing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×