MUKADIMAH
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini bakal mencatat sejarah apabila kali pertama anak muda berusia 18 tahun mengundi sekali gus menentukan masa depan negara selain menjadi penanda aras untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Disebabkan itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR mahu anak muda beramai-ramai menjalankan tanggungjawab dengan memangkah parti pilihan mereka agar dapat membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, FAHMI FAIZ serta jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, beliau melahirkan keyakinan Pejuang bakal mendapat sokongan padu disebabkan penolakan rakyat terhadap kleptokrasi.
Malah, sokongan golongan muda sudah mula diterjemahkan kepada parti itu apabila ada yang bertanya tentang baju T yang dipakai oleh jentera dan sukarelawan Pejuang selain keinginan mahu menyertai parti yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
UTUSAN: Bagaimana persediaan Pejuang?
MUKHRIZ: Secara umum kita sudah melatih ahli-ahli untuk menjadi jentera pilihan raya. Bukan takat pasca sahaja tetapi turut buat kerja meraih undi, merayu dan sebagainya. Kebetulan DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor bubar, jadi kita tingkatkan lagi usaha melatih jentera bukan sahaja dalam kalangan ahli tetapi ada yang sanggup jadi sukarelawan.
Ada juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang tidak berparti tetapi berkongsi aspirasi yang sama menawarkan diri untuk membantu. Ini satu pendekatan baharu yang kita kena gunakan iaitu sukarelawan tidak semestinya anggota parti tetapi bersama dengan kita untuk buat kerja-kerja dalam PRN.
Apa yang dijanjikan Pejuang?
Kita mahu bertanding di 42 kerusi. Kalaulah rakyat boleh beri mandat untuk tubuh kerajaan dengan sedikit majoriti atau lebih banyak, itu lebih baik. Apa juga yang kita nak lakukan adalah demi rakyat dan kita boleh lakukan.
Penerimaan orang ramai?
Sayap muda Pejuang bergerak sangat aktif dan sambutan yang diterima begitu meriah sekali. Apabila Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Huddin dan Ketua Pejuanita Muda, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi menyatuni orang ramai, mereka ambil tahu, ada yang bertanyakan tentang t-shirt, mereka nak pakai. Kira okeylah. Yang itu pengalaman saya, satu tanda yang sangat baik.
Orang melihat Pejuang dibayangi nama Dr. Mahathir. Di mana kekuatan sebenar parti?
Dari awal penubuhan parti pun kita tahu mesti mencari satu formula untuk mengekalkan relevan Pejuang sampai bila-bila. Yang kita nak adalah pemikiran Dr. Mahathir sebenarnya dan bagaimana nak terjemahkan dalam alaf baharu dan siapa nak terjemahkan? Jawapannya mestilah orang muda, orang baharu yang memahami benak fikiran tapi dari segi pelaksanaan diwarnai oleh keadaan semasa dan sebagainya.
Di sinilah peranan orang muda dan bila saya tanya lebih separuh daripada ahli Pejuang berusia 35 tahun ke bawah. Saya tak sempat nak kempen untuk orang muda sertai Pejuang, tiba-tiba dia orang dah masuk. Jadi, saya tanya kenapa masuk Pejuang? Jawapan mereka kerana sangat yakin dengan pemikiran Dr. Mahathir.
Saya juga tanya kenapa tak sertai MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia) atau parti lain yang khusus untuk orang muda? Mereka kata mereka faham asas penubuhan MUDA tapi mungkin anak muda Melayu terutama di pedalaman lebih selesa dengan Pejuang kerana ia parti Melayu dan dalam soal khidmat kita tak eksklusif. Kita bantu semua orang. Sebab itu mereka rasa lebih senang dengan kita.
Kalau itu pendirian mereka, eloklah tu. Kita cari formula terbaik untuk mengorak langkah.
Ya, Dr. Mahathir pengerusi kita tetapi anak-anak muda ini yang akan mewarisi Pejuang.
Komen budaya beli ahli guna duit?
Wallahuaklam. Kita tak tahulahkan. Sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil tahu. Sekurang-kurangnya siasat. Contoh, kenapa tiba-tiba 13 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sabah di pihak kerajaan melompat ke pembangkang sedangkan mereka menikmati segala kemudahan? Tengok-tengoklah, ada tak cara hidup orang itu berubah seperti kereta, rumah atau tambah bini baharu? Orang politik macam itulah.
Ada pihak kata cara pimpinan Dr. Mahathir jauh lebih tegas daripada Datuk Seri. Komen?
Saya ingat dari segi ketegasan itu saya ada cuma cara saya sampaikan berbeza. Saya belajar daripada Dr. Mahathir mengenai prinsip, sebab itu Pejuang ini ada lambang dengan slogan Kekal Berprinsip.
Dari awal, keputusan yang kita buat tak berganjak daripada prinsip. Kita nak jatuhkan kerjaan kleptokrasi secara berprinsip. Kita sanggup bersama Pakatan Harapan (PH) kerana prinsip, kita tubuhkan kerajaan juga kerana prinsip. Sebab itu kita tak bersama Perikatan Nasional (PN) pun berprinsip walaupun ditawarkan jawatan dan sekarang ini pun kita bertanding dalam pilihan raya pun berprinsip.
Tidakkah MUDA seperti tikam belakang Dr. Mahathir selepas memilih menjalin kerjasama strategik dengan PH?
Tak tahu apa rasionalnya tetapi tentunya ada strategi untuk memenangkan calon dia. Kita okey, kita hormati sebab itu hak dia. Saya tak boleh komen. Saya akui kita ada berbincang sedikit sebelum ini tetapi dia yang buat keputusan. Kita tetap dengan pendirian untuk bertanding di 42 kerusi secara solo.
Pintu rundingan masih terbuka untuk MUDA?
Buat masa ini kami nak buat kerja kami sendiri. Dia nak datang ke tidak ke, tak apalah.
Harapan untuk pengundi muda di PRN Johor?
Saya harap ramai-ramai tampil ke hadapan untuk menggunakan hak undi yang ada pada mereka. Undi mereka tidak akan sia-sia kerana mereka memilih wakil rakyat sendiri.
Biarlah peratusan keluar mengundi sebanyak 75 peratus ke atas, jadi barulah kerajaan yang ditubuhkan nanti mewakili suara ramai. Bagaimana kerajaan nak tadbir kalau 65 dalam 100 orang tak sokong? Anak muda dianggap sebagai kuasa penentu. – UTUSAN










